HomeUtamaKerajaan Sabah, KPM kerjasama rapat pastikan agenda pendidikan terus diperkasa, direalisasikan

Kerajaan Sabah, KPM kerjasama rapat pastikan agenda pendidikan terus diperkasa, direalisasikan

Read Time:2 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan agenda kerajaan ke arah memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini dapat direalisasikan.

Katua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama itu amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat keseluruhannya.

Katanya, usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.

“Justeru, semua pihak yang berkaitan termasuk warga Jabatan Pendidikan, pendidik dan ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anak- anak kita.

“Sebab itu dalam konteks kerajaan negeri, kita terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan agar lebih ramai anak Sabah dapat melanjutkan pendidikan mereka hingga ke tahap tertinggi selain mengikuti kursus kemahiran yang diperlukan. Dalam hal ini, kita menyediakan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke-12 JPN Sabah Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd.Arif, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin dan Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar.

Hajiji berkata, ilmu-ilmu dan cara pengajaran berasaskan teknologi komunikasi dan internet (ICT) terus diamalkan dan dibudayakan, sekaligus menjadikan cabaran dan ilmu semasa pendemik sebagai pengubahcara dalam pengajaran, sesuai dengan aspirasi negara untuk memiliki sistem pendidikan yang berdaya saing, kompetitif dan cemerlang.

“Kewujudan sebuah sistem pendidikan yang bersifat ‘glokal’ iaitu mampu berdaya saing di peringkat global tetapi berpegang teguh pada jati diri amat penting. 

“Justeru, warga JPNS khususnya akan berperanan dan bertanggungjawab dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0.,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga sentiasa menyokong usaha JPNS dalam menjayakan hasrat dalam sembilan Fokus Lanskap Pendidikan yang terkandung dalam hala tuju pencapaian yang digariskan oleh jabatan itu bermula tahun 2024 hingga 2025.

Katanya, ini termasuklah deklarasi yang diterjemah daripada Lanskap Pendidikan iaitu menoktahkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM ‘Kepala 5’, seiring dengan hala tuju Pelan Pembangunan SMJ 1.0 yang menggariskan pembangunan modal insan antara objektif utama.

“Kita mengharapkan agar kecemerlangan yang dikecapi hari ini dibudayakan dan dijadikan amalan berterusan serta menjadi contoh teladan kepada semua rakan warga Jabatan Pendidikan dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga berharap pengiktirafan yang diberikan menerusi MEKAR akan menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada warga pendidik untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang dan sebagai acuan kecemerlangan yang wajar diterapkan ke arah pembudayaan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

“Semoga sektor pendidikan negeri akan terus berkembang maju selari dengan kepesatan dunia pendidikan masakini, yang juga terkait dengan pembangunan dan kecanggihan teknologi maklumat dalam abad ke-21 ini. 

“Sesungguhnya, kita tidak lagi mampu untuk tertinggal jauh di belakang dalam apa jua bidang, terutamanya dalam sektor pendidikan yang terpenting dalam mencipta dan membina pembangunan modal insan demi kemajuan serta pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Sementata itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri sebelum ini melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (TPPS) yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal.

Katanya,  aa adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan.

Beliau mahu JPNS turut membantu memperluaskan hebahan mengenai portal itu bagi memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular