KOTA KINABALU : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan satu eksesais iaitu Eksesais Ababil 2021 bertempat di Pangkalan Udara Labuan dan Kota Belud mulai 7 hingga 17 September 2021 melibatkan ruang udara Borneo serta perairan sekitarnya.
Eksesais yang diadakan selama dua minggu ini bertujuan untuk menilai kecekapan juruterbang-juruterbang TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab bagi melindungi kedaulatan negara.
Di samping itu, eksesais ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan di dalam pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
Sepanjang eksesais berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan. TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh eksesais.