HomeUtamaBCNS tanda pengiktirafan kerajaan terhadap kecemerlangan pelajar

BCNS tanda pengiktirafan kerajaan terhadap kecemerlangan pelajar

Read Time:2 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu: Penganugerahan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) adalah satu pengiktirafan berprestij kerajaan negeri terhadap kecemerlangan yang telah dicapai oleh pelajar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganugerahan BCNS itu juga adalah seiring dengan hasrat kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) yang ingin melihat lebih ramai lagi modal insan yang mampu bersaing di persada global

Sambil menyifatkan majlis itu begitu istimewa, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berharap pelajar-pelajar akan berusaha lebih gigih untuk mendapat kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.

“KYS telah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang ini sejak tahun 1990. Sehingga kini, seramai 755 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM132.6 juta telah dibelanjakan sejak program ini dilaksanakan.

“Secara keseluruhannya, sejak tahun 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang mana telah memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.

“Pada hari ini, seramai 88 pelajar menerima biasiswa kerajaan negeri iaitu Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah dan Anugerah MUIS,” katanya.

Beliau berkata demikian  sempena Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pelaksanaan Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang bermula sejak tahun 2022 adalah selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di mana biasiswa ini diberikan untuk meningkatkan taraf akademik anak-anak negeri Sabah.

“Sejak tahun 2022 hingga 2023, seramai 20 orang pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM 1.04 juta telah dibelanjakan. Sementara itu, Anugerah MUIS yang bermula sejak tahun 2020 telah memberi manfaat kepada 50 pelajar sehingga tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri pada tahun lalu telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta kepada RM101 juta, dengan seramai 7,304 pelajar telah menerima penajaan bagi meneruskan pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini.

Katanya,  kerajaan sentiasa menyokong dan komited dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelbagai pembiayaan pendidikan antaranya tajaan biasiswa, bantuan pendidikan, sumbangan zakat serta pinjaman pendidikan, di negeri ini.

“Selain membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa, pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan juga adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada arus pendidikan sekali dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi. Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular