Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pelajar sekolah dijadikan ‘keldai akaun’ antara 90 suspek yang ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan kes-kes jenayah komersial di daerah Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bagi tempoh Mei 2024 hingga Julai 2024, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Kota Kinabalu telah membuka sebanyak 302 kertas siasatan yang melibatkan jumlah kerugian RM 37.762 juta.
“Daripda jumlah kes tersebut, 203 kes merupakan penipuan atas talian yang menyebabkan kerugian berjumlah RM 8.151 juta.
“Manakala tempoh yang sama terdapat enam kes menarik iaitu lima kes menarik berprofil tinggi iaitu menyamar sebagai pemilik akaun bagi pengeluaran wang simpanan tetap pelanggan daripada salah satu bank komersial berjumlah RM 24.7 juta dan satu kes penipuan atas talian sebanyak RM1.5 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jelasnya, bagi tempoh yang sama, BSJK telah buat tangkapan seramai 90 orang suspek bagi pelbagai kesalahan termasuk 24 orang suspek kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpangkat dato’, pegawai kerajaan dan juga pegawai bank.
“10 individu daripada 24 orang tangkapan ini telah didakwa di mahkamah seksyen dibawah seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Jenayah Terancang) manakala yang lain juga akan didakwa setelah mendapat arahan daripada pihak Pendakwa Raya.
“Bagi tangkapan suspek yang merupakan keldai akaun juga telah didakwa di mahkamah kerana memberikan atau menyewakan akaun/kad ATM kepada pihak ketiga serta gagal memberi keteranagn munasabah mengenai penglibatan akaun dalam kes penipuan.
“Keldai akaun termasuklah pelajar sekolah dan mereka ini tidak berapa faham tentang penipuan ini.
“Sewa akaun biasanya antara RM200 hingga RM500 untuk pembayaran sekali sahaja,” jelas beliau.
Sehubungan dengan itu, Kasim menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dengan pelbagai taktik terkini jenayah berkenaan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
“Sekiranya ada sebarang kemusykilan boleh berhubung dengan pihak polis mendapatkan nasihat.
“Selain itu, masyarakat turut dituntut agar mengambil bahagian dalam pelbagai usaha pencegahan jenayah komersil yang sedang dijalankan,” ujarnya.