HomeUtamaLebih 2,000 usahawan muda terima manfaat SYABAS

Lebih 2,000 usahawan muda terima manfaat SYABAS

Read Time:1 Minute, 58 Second

Penampang : Lebih 2,000 usahawan muda di negeri ini telah menerima manfaat menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) pada tahun ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan berkata, setiap tahun kerajaan negeri melalui kementeriannya telah membuka sebanyak 2,500 permohonan kepada usahawan muda melalui SYABAS .

“Permohonan ini terbuka kepada para belia Sabah dengan syarat utama adalah pemohon mesti berumur 18 hingga 40 tahun, telah menjalankan perniagaan dan mempunyai lesen perniagaan sah.

“Petang ini kita akan menyampaikan SYABAS berjumlah RM2,000 setiap seorang kepada 19 usahawan muda di sekitar daerah Penampang sebagai bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Program Amazing Youth Race di Dewan Mini Kadazan-Dusun Cultural Association (KDCA) di sini semalam.

Fairuz berkata, bantuan itu diharap akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan diharap mampu membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada belia yang lain.

Dalam ucapan yang sama beliau turut mengajak golongan belia untuk menjadikan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai penguat kepada jati diri.

Katanya, SMJ bukan slogan parti tetapi ia adalah cogan kata keramat yang telah termaktub dalam perlembagaan dan tertulis pada Jata Negeri Sabah.

“Masih terdapat segelintir masyarakat memberi pandangan negatif dan mempermainkan slogan ini dengan menyatakan ia tidak mencerminkan kemajuan yang dikecapi pada ketika ini.

“SMJ bukan bererti hari ini kita sebut esok kemajuan Sabah sudah seperti di Dubai atau negeri-negeri lain. Slogan ini adalah slogan penguat yang mencerminkan jati diri, kebersamaan terutama golongan belia Sabah untuk terus menyumbang bagi menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah, saya menyeru kepada para belia untuk bersama menjaga, memaju dan memartabatkan negeri ini.  Kerana negeri ini negeri kita, negeri ini rumah kita, kitalah penentu yang mencorakkan kejayaan dan kemajuan negeri ini seterusnya,” katanya.

Seramai 1,000 belia menjayakan program tersebut yang melibatkan aktiviti khidmat masyarakat di kampung Koidupan, acara berbasikal-Kayuhan Merdeka sejauh 25km, pertandingan Karya Kreatif bahan kitar semula, Youth Race-Treasure Hunt dan Pertandingan Sukan Lasak-Orang Kuat Sabah (Novice).

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Datuk Mansur Asun, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Francis Chong, Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton serta Setiausaha Rendah Kementerian Kewangan Negeri Sabah merangkap Ketua Urusetia Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera, Dayang Selha Ibrahim.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan curi kabel punca gangguan bekalan di Kinarut

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular