HomeUtamaKerajaan laksana program sejahterakan ekonomi belia

Kerajaan laksana program sejahterakan ekonomi belia

Read Time:2 Minute, 12 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada kesejahteraan ekonomi belia, termasuk latihan dan kursus kemahiran untuk memperkasa golongan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda pembangunan modal insan khususnya golongan muda dan belia akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berminda kelas pertama.

Sehubungan itu beliau mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama dalam usaha memperkasakan belia di negeri ini.

“Semua pihak baik kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mencipta peluang dan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh belia”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah, Sidang II, Penggal Ke-34, Tahun 2022-2024 di Grand Ballroom Shangri-La Tanjung Aru di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.

Hajiji berkata, belia adalah generasi masa depan yang akan meneruskan legasi pembangunan negeri, agen perubahan, inovator, dan pemimpin masa hadapan.

“Adalah penting untuk kita memberikan mereka platform yang sesuai untuk berkembang dan memberi sumbangan. Dengan sokongan yang tepat, belia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya negeri kita,” katanya.

Katanya, Sabah telah mengalami pelbagai pencapaian dalam pembangunan belia. Program latihan kemahiran, inisiatif keusahawanan, dan aktiviti sosial telah memberikan impak positif kepada ramai belia negeri ini.

Namun katanya, antara cabaran yang wujud termasuklah kekurangan peluang pekerjaan, isu pendidikan, dan kekurangan infrastruktur yang menyokong perkembangan belia, yang kini giat ditangani oleh kerajaan.

Sementara itu, Hajiji berkata, dalam aspek pendidikan pula, kerajaan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa berbincang untuk menangani apa juga masalah berkaitan pendidikan untuk dilanjutkan kepada Kementerian Pendidikan.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) turut menyediakan tajaan seperti biasiswa, dermasiswa dan pinjaman bagi membolehkan anak-anak Sabah meneruskan pendidikan menengah dan pengajian tinggi mereka.

Menurutnya, Sabah turut melakar sejarah dengan kejayaan menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS), pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.

Dalam konteks peluang keusahawanan pula, Hajiji berkata, antara inisiatif yang diberikan merangkumi kursus kemahiran melibatkan, pemberian geran dan dana serta program latihan keusahawanan melalui Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi menggalakkan belia menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan dan ekonomi.

Beliau berharap lebih banyak isu berkaitan kepentingan dan keperluan belia di Sabah akan dikupas dalam persidangan itu untuk diangkat pada Majlis Perundingan Belia Negara peringkat kebangsaan agar belia Sabah tidak ketinggalan, sebaliknya seiring dengan belia lain di negara ini.

“Komitmen kita ialah memastikan belia Sabah mencapai kejayaan dan kecemerlangan seiring dengan Hala Tuju SMJ dan Malaysia Madani,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular