HomeSukanPeralatan 'uzur' tidak luntur semangat gimnas Sabah buru pingat di SUKMA 2024

Peralatan ‘uzur’ tidak luntur semangat gimnas Sabah buru pingat di SUKMA 2024

Read Time:1 Minute, 38 Second

BERNAMA

Kota Kinabalu : Biarpun berdepan kekangan kemudahan peralatan sukan yang ‘uzur’ namun semangat gimnas Sabah tetap membara dalam usaha mereka membawa pulang pingat buat kontinjen negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Jurulatih skuad gimnastik artistik Sabah Azri Omar berkata sudah tiba masanya kemudahan peralatan sukan gimnastik khususnya di Dewan Gimnastik Kompleks Sukan Likas yang sudah mencecah lebih 20 tahun itu ditukar bagi menjamin keselamatan atlet.

Pada masa sama, beliau berkata penggantian kemudahan peralatan sukan yang lebih baik, lengkap dan moden boleh menjadi pendorong kepada atlet untuk meningkatkan prestasi masing-masing selain menarik bakat baharu dalam sukan gimnastik.

“Saya harap lepas ini, peralatan-peralatan gimnas ditukar kerana sudah melebihi 20 tahun sama ada di Kota Kinabalu atau Sandakan.

“Semoga ada perubahan dari segi peralatan. Sebelum ini ada juga peralatan dibantu oleh MSN, ada beberapa alat tetapi yang sekarang ini penting dari segi keselamatan (para gimnas semasa sesi latihan),” katanya kepada Bernama.

Pada SUKMA 2024, skuad gimnastik artistik Sabah menyasarkan pingat emas dalam disiplin palang tunggal individu selain memburu pingat acara berpasukan, sekali gus mengekalkan prestasi pada edisi lepas di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Sabah meraih pingat perak dalam acara gimnastik artistik berpasukan lelaki pada SUKMA 2022.

Sementara itu, pengurus pasukan gimrama Sabah SUKMA 2024 Jasmine Law berkata dewan latihan yang luas, tinggi dan bersesuaian dengan acara gimrama amat diperlukan kerana kemudahan sedia ada sangat terhad.

Beliau berkata pihaknya bukan sahaja berdepan kekurangan sumber dari aspek jurulatih tetapi juga kemudahan dewan latihan yang lengkap dan bersesuaian bagi acara gimrama.

“Jadi memang tidak cukup kerana ramai anak muda semakin berminat (menyertai gimrama). Kami harap boleh ada tempat sesuai bagi sesi latihan untuk sukan ini,” katanya.

Menurut Jasmine, atlet sentiasa melakukan yang terbaik demi menghadiahkan pingat buat kontinjen Sabah walaupun terpaksa menghadapi kekangan kemudahan peralatan dan ruang latihan bersesuaian.

Beliau berkata skuad gimrama Sabah yang dibarisi gimnas berusia 13 hingga 15 tahun disasarkan mampu meraih sekurang-kurangnya tiga gangsa menerusi acara berpasukan serta latihan berkumpulan disiplin gelung dan belantan.- FOTO BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

Alto, Martin ketuai barisan kejurulatihan sementara Sabah FC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular