Sibu : Pasukan bola sepak lelaki Sabah berjaya mencatat kemenangan pertama menewaskan Johor 2-1 di peringkat Kumpulan B di Stadium Zaidi Adruce di sini petang tadi.
Gol kemenangan Sabah dijaringkan ketua pasukan Jenalter Justin pada minit ke-18 dan ke-79. Manakala gol tunggal Johor dijaringkan Naim Zainudin pada minit ke-88.
Dalam aksi perlawanan itu, Johor berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi Abdul Raziq Abdul Rahman dan Alauddeen Alif Fua-ad.
Namun Johor dikejutkan dengan gol pertama Sabah pada minit ke-18 menerusi jaringan Jenalter dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga rehat separuh masa.
Tamat masa rehat, gawang Johor sekali lagi dibolosi Sabah pada minit ke-79 menerusi jaringan Jenalter namun Johor merapatkan jurang menerusi Naim pada minit ke-88
Keadaan ini menyaksikan Sabah dan Johor masing-masing mengumpul tiga mata dalam Kumpulan B.
Selepas ini, Sabah akan bertemu Terengganu pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B pada 16 Ogos ini dan memerlukan kemenangan bagi membolehkan skuad kendalian Jelius Ating itu berada ditangga pertama Kumpulan.
Sementara itu, bagi perlawanan melibatkan pasukan bola sepak wanita, Sabah sekadar mencatat keputusan seri 1-1 kepada Pahang yang berlangsung di Stadium Negeri Kuching.
Gol Pahang dijaringkan Zerith Sofia pada minit ke-38 dan Sabah dijaringkan Rocilleyca Lole pada minit ke-90 perlawanan.
Pasukan bola sepak wanita akan meneruskan aksi peringkat Kumpulan bertemu tuan rumah Sarawak pada 18 Ogos ini. – SABAH MEDIA / FOTO JDT – KBS