HomeUtamaBerita berkaitan salah guna kuasa, rasuah, dijadikan panduan siasatan - SPRM Sabah

Berita berkaitan salah guna kuasa, rasuah, dijadikan panduan siasatan – SPRM Sabah

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pegamal media merupakan rakan strategik yang penting kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dalam mendedahkan sebarang berita berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya, kata Pengarah Suruhanjaya SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy.

S.Karunanithy semasa sidang media pada Program Bual bicara & Boling SPRM Bersama Media Sabah di sini pada Rabu. Turut hadir Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar (kiri).

Beliau berkata, hubungan kerjasama pengamal media dengan SPRM amat penting kerana pengamal media apabila menyalurkan berita-berita berkaitan dengan pendedahan kes rasuah, dengan itu ia dapat membantu SPRM menjalankan siasatan lanjut mengenai pendedahan itu.

“Justeru, apabila media menyiarkan berita-berita mengenai amalan rasuah ia secara tidak langsung memberikan peluang kepada SPRM akan menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Bual Bicara & Boling SPRM Bersama Media Sabah di sini, pada Rabu.

Karunanithy juga mengakui banyak kes-kes rasuah yang didedahkan oleh media berakhir dengan kejayaan pihak SPRM dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Kita ada banyak kes-kes yang didedahkan oleh media dan berakhir dengan kejayaan. Itu sebab kita menganggap para media merupakan rakan strategik yang penting untuk SPRM dalam mendedahkan sebarang salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

“Bukan itu sahaja, media juga memainkan peranan untuk menyebarluaskan mesej-mesej pencegahan rasuah dan dasar-dasar kerajaan berkenaan isu-isu pencegahan rasuah,” ujarnya.

Ditanya mengenai adakah hasil siasatan media boleh dijadikan bahan bukti, Karunanithy menjelaskan bahawa pendedahan media terhadap sebarang kes berkaitan rasuah hanya dijadikan sebagai panduan untuk SPRM menjalankan siasatan lanjut.

“Pendedahan media bukan sebagai bukti tetapi ia akan dijadikan guide (panduan) untuk kita menjurus kepada siasatan, ia tidak boleh, apa-apa pendedahan yang dibuat oleh media, tidak akan dijadikan sebagai bukti tapi ia akan menjadi panduan untuk kita memulakan sesuatu siasatan,’ jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memaklumkan keyakinan tinggi masyarakat awam terhadap SPRM mengendalikan kes jenayah rasuah masa kini.

“Pada pendapat saya persepsi orang awam terhadap SRPM semakin lama semakin meningkat, kita melihat terdapat banyak kes-kes dan kejayaan hasil wang yang telah dibawa pulang kepada negara dan kita juga berjaya mengelakkan berlakunya ketirisan, semua itu menyebabkan masyarakat pandang tinggi kepada SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan keberkesanan penempatan pegawai-pegawai SPRM di kementerian -kementerian di negeri ini untuk memantau sebarang aktiviti rasuah di situ.

“Di semua kementerian memang ada pegawai-pegawai integriti ditempatkan di unit-unit setiap kementerian, ia lebih kepada certified integrity officer (pegawai integriti bertauliah).

“Pada pendapat saya, inisiatif ini memang berkesan sebab banyak maklumat-maklumat yang disalurkan pegawai-pegawai integriti yang ditempatkan contohnya baru-baru ini Op Fly ‘Pasport Terbang’ yang kita jalankan di Sabah ini, itu adalah kolaborasi daripada pegawai integriti yang ditempatkan di Jabatan Imigresen,” katanya.

Antara kejayaan pasukan SPRM Sabah menerusi Ops Fly pada 17 Julai lalu berjaya merungkai sekali gus menumpaskan sindiket pemalsuan pasport atau ‘pasport terbang’ susulan penahanan tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan di negeri ini.

Sementara itu, Program Bual Bicara & Boling SPRM Bersama Media Sabah dihadiri lebih 30 pengamal media dari pelbagai organisasi media nasional dan tempatan.

Selain sesi dialog, acara perlawanan boling persahabatan dan minum santai turut memeriahkan suasana program tersebut.

Hadir sama Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular