Kota Kinabalu : Golongan belia di negeri ini diminta untuk terus memahami sejarah Sabah dan pembentukan Malaysia secara keseluruhannya.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, banyak signifikan yang perlu difahami rakyat selain tahu bagaimana untuk menjaga hak-hak seperti yang terkandung menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita harap golongan belia faham mengenai sejarah Sabah, kedua mengenai sejarah Malaysia.pembentukan Malaysia. Banyak signifikannya sebab sebagai warga Malaysia di Sabah ini kita kena faham apa asas-asas pembentukan Malaysia itu.
“Dari situ, kita boleh tahu bagaimana kita ingin dapatkan hak kita dan juga dapat dijaga seperti yang terkandung di dalam MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Kibaran Jalur Gemilang Parlimen Sepanggar di sini semalam.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, semua pihak juga perlu bekerjasama bagi membina sebuah negara maju yang menjadi antara amanat pemimpin terdahulu.
“Jadi kita sebagai generais muda, kita ada tanggungjawab besar agar Malaysia ini kekal selamanya. Kita minta juga kebajikan rakyat Sabah ini dapat dijaga oleh Kerajaan negeri dan pusat,” katanya.
Terdahulu pada program itu, Mustapa turut menyertai konvoi bermotorsikal mengelilingi Kampung Warisan di sini.
Selain itu, beliau turut menyerahkan 50 bendera masing-masing Jalur Gemilang dan Sabah untuk dikibarkan di sekitar kampung berkenaan. – SABAH MEDIA