Kuching : Atlet Skuasy, Yee Xin Ying muncul juara perseorangan skuasy wanita SUKMA Sarawak ke-21 sekaligus melakar sejarah sebagai pemain pertama menang pingat emas bagi acara untuk Sabah dalam sejarah SUKMA.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Sarawak di sini pagi tadi menyaksikan Xin Ying merangkul emas dengan menewaskan pemain Kedah, K Sehveetrraa.
Kemenangan itu bagaimanapun diraih selepas pertarungan mendebarkan terutama apabila Xin Ying tewas dua set awal 9-11 dan 7-11. Xin Ying hanya menemui rentak terbaiknya untuk memenangi set ketiga 11-8 dan meneruskannya pada dua set berikutnya dengan kemenangan 11-7 dan 11-8 untuk keluar sebagai pemenang.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Bukan mudah tetapi sokongan padu jurulatih dan rakan sepasukan di luar gelanggang sangat membantu.
“Saya dapat motivasi setiap kali mendengar sorakan mereka dan ianya membantu saya mendapatkan semula rentak terbaik,” kata pemain berusia 18 tahun itu.
Katanya, kemenangan itu juga menebus kekalahan rakannya, Lai Wen Li pada SUKMA sebelum ini.
“Secara keseluruhannya, saya gembira dengan prestasi saya setakat ini,” kata Xin Ying yang turut membuat kejutan mengalahkan juara kebangsaan dua kali dari Kedah, Aira Azman pada pusingan separuh akhir.
Ia juga pencapaian lebih baik Xin Ying selepas hanya menang gangsa acara berpasukan pada SUKMA 2018 dan pingat perak acara beregu wanita ketika bergandingan dengan Wen Li pada SUKMA 2022.
Pemain kelahiran Sandakan yang kini menuntut di Cornell University Amerika Syarikat (US) itu masih berpeluang menambahkan koleksi pingat di SUKMA ini menerusi acara beregu di mana dia bergandingan dengan Doyce Lee.
Menurutnya, selepas SUKMA ini, beliau akan kembali ke US namun masih ada tugas bersama Doyce dalam acara beregu.
“Kami akan cuba beri yang terbaik buru pingat emas kedua untuk Sabah,” katanya.
Sambil itu, Presiden Persatuan Skuasy Sabah, Datuk Charles O Pang juga teruja dengan sejarah baru skuasy Sabah dalam SUKMA yang dilakar Xin Ying itu.
“Berdasarkan rekod lalu melibatkan atlet kami yang menyerlah, pemain boleh berjaya dalam akademik dan sukan jika mereka fokus seperti yang dibuktikan Xin Ying dan Wen Li yang menunut di Ivy League Universities, US.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada jurulatih-jurulatih, pengurus pasukan dan para pemain atas kerja keras dan kerjasama mereka. Tidak lupa kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri Sabah dan juga ibubapa yang sentiasa memberi sokongan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KBS