HomeUtamaJMUU bantu rancakkan kelas pengajian agama di Sabah

JMUU bantu rancakkan kelas pengajian agama di Sabah

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu: Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) dapat membantu merancakkan lagi kelas-kelas pengajian agama khususnya di masjid dan surau di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program JMUU ini juga hendaklah dijadikan medium perkenalan dan penyatuan kepada semua guru agama di negeri ini.

“Sesungguhnya, kerja-kerja dakwah dan mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang ringan dan mudah. Setiap masa, guru-guru dan pendakwah akan menerima berbagai cabaran dan mehnah yang silih berganti. Oleh itu, program sebegini diharapkan dapat memberikan motivasi dan suntikan semangat baru kepada seluruh yang hadir.

“Bagi memastikan penyampaian guru-guru agama di negeri ini memenuhi kualiti, semua guru agama juga hendaklah memperolehi tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Majlis Ugama Islam Sabah.

“Kaedah ini diguna pakai bagi memastikan agenda-agenda yang menyimpang dapat dikawal serta dapat menjaga keharmonian hubungan kaum dalam masyarakat  di negeri ini daripada anasir-anasir yang tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Program JMUU Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji juga meminta agar semua pihak dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan.

“Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar.

“Oleh itu, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat, keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan dapat direalisasikan.

“Adalah menjadi suatu tanggungjawab bagi setiap guru agama di negeri ini memahami, menghayati dan bersemangat waja mendidik masyarakat untuk terus celik kepada ilmu agama agar amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pam rosak, paip pecah punca gangguan air di Putatan dan sekitar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular