Kuching: Atlet tinju Deirdra Jacquelina Richard semalam menghadiahkan pingat emas sulung kepada Sabah dalam acara itu bagi kategori 45-48kg wanita selepas mengalahkan peninju tuan rumah Sarawak, Patricia Jaquilina Anak Bruce 5-0 dalam pertarungan tiga pusingan akhir di Stadium Tertutup Sri Aman.
Skuad tinju Sabah juga turut menyumbang dua pingat gangsa menerusi Alfred Eter Tohiron (45-48kg lelaki) dan Hallary Boy (lightweight 57-60kg lelaki).
Tinju akan menutup tirai pertandingan dengan tujuh pertarungan final malam ini di mana dua daripadanya melibatkan peninju Sabah, Joel Evelky Jain dan Jonathan John.
Joel akan bertarung dengan Frederick Xian Anak Batholomew Albern (Sarawak) dalam kategori feather weight 54-57kg lelaki manakala Jonathanberhadapan dengan Azib Zafran Zolkarnain (Johor) kategori light middleweight 67-71kg.
Sambil itu, harapan Sabah merangkul pingat dalam sukan bola sepak wanita tertangguh apabila perlawanan akhir antara Sabah dan Selangor yang sepatutnya berlangsung di Stadium Negeri, Kuching semalam ditunda ke petang ini (sepak mula 4.15 petang).
Perlawanan akhir itu ditunda ekoran keadaan hujan lebat dan petir di sini semalam.
Selain tinju dan bola sepak wanita, beberapa atlet Sabah juga tersenarai dalam acara final olahraga, boling padang, terjun, angkat berat, silat, renang, gimnastik dan lawan padang.
Sabah juga dijangka mampu ke peringkat akhir acara sepak takraw.
Keseluruhannya, sebanyak 82 pingat emas ditawarkan hari ini sebelum SUKMA Sarawak 2024 melanjutkan tirai kejohanan dengan 45 pingat emas esok. – SABAH MEDIA