HomeUtamaPembangunan saksama pastikan tiada kaum terpinggir

Pembangunan saksama pastikan tiada kaum terpinggir

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa memastikan pembangunan yang saksama bagi memastikan tiada kaum yang terpinggir di negeri ini, termasuk dalam aspek kebudayaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini seiring dengan komitmen kerajaan yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan kesederhanaan terhadap segala polisi, menggalakkan setiap kumpulan etnik termasuk kaum Tionghua di Sabah menerus dan memajukan kebudayaan masing- masing.

Katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM56.75 juta untuk badan- badan keagamaan bukan Islam, mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian di Sabah pada tahun ini.

“Jumlah peruntukan ini merupakan peningkatan sebanyak RM2.7 juta berbanding RM54.05 juta pada tahun lalu. Peningkatan peruntukan ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat prihatin dan serius dalam membantu masyarakat di negeri Sabah tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Perayaan Ulang Tahun Ke-30 dan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Pusat Penggal Ke-14 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Dewan Hakka, Teluk Likas di sini semalam.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.

Katanya, sejak sekian lama, FCAS turut memainkan peranan penting membantu kerajaan peningkatan ekonomi negeri ini dan berharap kesepaduan dan kerjasama yang erat dalam FCAS diterjemahkan untuk menyokong dan membantu kerajaan meningkatkan lagi pembangunan di Sabah.

“Saya mahu peranan ini berterusan untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan khususnya dalam menjayakan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Dengan pengaruh, kepakaran dan rangkaian FCAS yang luas, saya yakin gabungan ini akan memanfaatkan semua inisiatif kerajaan serta memainkan peranan dalam usaha membantu negeri ini, terutama membawa lebih ramai pelabur datang ke negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan syabas kepada FCAS yang telah berusia 30 tahun atas inisiatif untuk membeli sebuah bangunan 4 tingkat di Kg Air, Kota Kinabalu sebagai Wisma FCAS.

“Tepat pada masanya FCAS memiliki bangunan sendiri di Bandaraya Kota Kinabalu. Wisma FCAS merupakan lambang bersatupadu dan bekerjasama antara semua persatuan-persatuan Cina dan juga semua kaum Tionghua di Sabah dan WP Labuan.

“30 tahun adalah satu jangka masa yang agak panjang dan bukan senang bagi satu pertubuhan dapat ditadbirkan dengan baik dan lancar. Tahniah kepada FCAS dan selamat hari jadi yang ke 30,” katanya.

Hajiji yakin, gandingan Tan Sri Dr TC Goh dan Datuk Susan Wong yang sekali lagi terpilih menterajui pimpinan FCAS Penggal Ke 14 akan memberi lebih banyak sumbangan kepada masyarakat Tionghua dan memastikan hubungan yang rapat dan baik dengan kerajaan negeri.

Sempena bulan kemerdekaan, beliau berharap keharmonian dan keamanan yang dikecapi rakyat berbilang kaum serta negeri selama ini terus kekal dan dipelihara. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pam rosak, paip pecah punca gangguan air di Putatan dan sekitar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular