HomeUtamaSabah kekal reputasi terbaik sebagai negeri dengan toleransi, agama tinggi

Sabah kekal reputasi terbaik sebagai negeri dengan toleransi, agama tinggi

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu:  Program Doa Sayangi Malaysia mampu mengekalkan reputasi baik Sabah sebagai negeri yang unik dengan toleransi budaya dan agama yang tinggi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, program tersebut secara tidak langsung menjadi jaminan keharmonian kepada kepercayaan masyarakat luar untuk datang ke Sabah seterusnya membantu meningkatkan lagi ekonomi negeri.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar di Sabah saya menyokong penganjuran program seperti ini untuk diadakan dan diteruskan pada masa akan datang. 

“Ini merupakan penganjuran kali kelima sejak dimulakan pada tahun 2020. Walau apa pun kepercayaan kita, saya yakin semua yang ada di sini dan di luar sana turut mendoakan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Sri Pasupathinath Alayam Temple and Hall, Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Murad Abdul Rashid.

Christina berkata, terdapat empat persatuan yang telah bersama-sama pihaknya sejak awal penganjuran program ini iaitu Malaysia Hindu Sangam (MHS), Persatuan Kinabalu Singh Sabha Sabah, Gabungan Persatuan Cina Sabah dan Persatuan Bumiputera Kristian Sabah. 

“Kesudian semua pihak untuk terlibat sama dalam program mendoakan Malaysia merupakan satu perkara yang amat bermakna bagi kita kerana masyarakat yang bukan beragama Islam turut diberikan ruang dan peluang untuk menzahirkan doa bagi negara yang amat kita sayangi ini. 

“Saya percaya bahawa program pada hari ini menjadi gambaran keseluruhan terhadap jaminan kebebasan dan toleransi beragama di negeri Sabah,” katanya

Dalam pada itu, Christina turut menyeru kepada semua untuk terus bersama-sama mendoakan keamanan, kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran Malaysia dan ia berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. 

Program tersebut telah diadakan sejak tahun 2020 oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama Malaysia Hindu Sangam (MHS), Persatuan Kinabalu Singh Sabha Sabah, Gabungan Persatuan Cina Sabah dan Persatuan Bumiputera Kristian Sabah sebagai pengisian tahunan sempena Hari Kebangsaan.

Persatuan yang terlibat akan mendoakan Malaysia secara umumnya dan Sabah khasnya agar seluruh lapisan masyarakat dapat menikmati erti keharmonian dalam kepelbagaian serta dikurniakan perpaduan, toleransi dan kasih sayang bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kaum.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembangunan belia, sukan di Sabah terus diberi perhatian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular