HomeUtamaPermuafakatan ibu bapa, guru berupaya bantu tingkat pencapaian pelajar di sekolah

Permuafakatan ibu bapa, guru berupaya bantu tingkat pencapaian pelajar di sekolah

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan permuafakatan ibu bapa dan guru yang dilaksanakan di Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah selain penganjuran seminar keibubapaan telah berjaya membuahkan hasil khususnya dalam pencapaian pendidikan pelajar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah Mohammad Arif Sakaran berkata permuafakatan yang baik antara ibu bapa dan guru mampu menjana kecemerlangan sekolah. 

“Hubungan yang erat dan harmoni amat penting bagi menentukan hala tuju sekolah dan kemenjadian pelajar.

“Kerjasama antara kedua belah pihak ini harus wujud seperti ‘aur dengan tebing’ selain saling memerlukan dan melengkapi. Tahniah atas kejayaan program-program yang disusun khas oleh guru-guru Pusat Tingkatan 6. 

“Pihak PIBG juga cakna dengan program-program yang guru-guru laksanakan seperti Beyond Excellence Class dan I-Reach,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Pusat Tingkatan 6 Maktab Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini baru-baru ini.

Mohammad Arif yang juga Focal Person Kebangsaan Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah berkata, pihaknya turut mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada pengetua Maktab Sabah dan juga kepada penolong kanan tingkatan 6 kerana telah berjaya membawa Maktab Sabah mencipta nama dalam arena pendidikan. 

Katanya, Maktab Sabah sekali lagi melakar sejarah dalam pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila telah mendapat pencapaian 100 peratus lulus.

“Seramai lima orang telah mendapat PNGK 4.00. Daripada 106 orang calon, 89 orang telah berjaya mencatatkan pencapaian 4P dengan 63 orang calon mencatatkan PNGK 3.00 ke atas.

“Tahniah kepada para graduan! Harapan saya, semoga dengan pencapaian 100 peratus lulus dalam STPM pada kali ini diharap dapat menyuntik semangat kepada semua warga pendidik Maktab Sabah dan juga para pelajar untuk meneruskan kejayaan seumpama ini pada tahun 2024 dan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Arif berkata, penganjuran majlis seumpama itu sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi motivasi, perangsang dan ingatan agar pelajar dapat meningkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi di samping kesediaan intelek untuk meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi lagi. 

“Sesungguhnya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM adalah sangat penting sebagai platform untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ke peringkat doktor falsafah dalam bidang-bidang tertentu. 

“Berkemungkinan juga anda akan ditawarkan untuk menyambung pengajian di universiti-universiti ternama di luar negara dengan penajaan kerajaan atau pihak swasta,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

1,224 barang rampasan bernilai lebih RM100,000 di Sabah dilupuskan ST

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular