HomeEkonomiWajarkah Percukaian GST Dikembalikan Semula ?

Wajarkah Percukaian GST Dikembalikan Semula ?

Read Time:7 Minute, 23 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1.        Saban hari, rakyat Malaysia di seluruh pelusuk negara berbicara mengenai ekonomi negara. Ini kerana prestasi ekonomi negara akan mempengaruhi keadaan ekonomi isi rumah rakyat Malaysia.

Dalam bahasa mudah, baik ekonomi negara, baik jugalah ekonomi rakyat.  

2.        Pasca pandemik Covid-19, ekonomi negara telah menunjukkan proses pemulihan yang berterusan. Secara keseluruhan, pelbagai indikator ekonomi utama telah merekodkan prestasi yang memberangsangkan.

3.        Menurut laporan yang di terbitkan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia, pada Suku Tahun Kedua (ST2) 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9%.

Ini merupakan peningkatan melebihi dua kali ganda berbanding dengan Suku Tahun Kedua 2023 (2.8%).

4.        Malah, pertumbuhan KDNK negara adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara ASEAN dan ekonomi besar dunia, antaranya: Singapura (2.9%), Indonesia (5.1%), USA (3.1%), China (4.7%), Taiwan (5.1%).

5.        Memandangkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada Suku Kedua 2024 ini, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia/ Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) di laporkan berkata ekonomi negara berpotensi melepasi sasaran Kerajaan Malaysia (antara 4% – 5%) dan mencapai pertumbuhan 5.1% untuk tahun 2024.

6.        Pertumbuhan ekonomi negara di pacu oleh semua sektor ekonomi yang telah berkembang dengan pesat, terutamanya sektor Pembuatan (17.3%), Pertanian (7.2%) dan Perkhidmatan (5.9%).

7.        Pada masa yang sama, negara telah menerima jumlah pelaburan yang besar. Menurut laporan Malaysia Investment Performance January – March 2024 oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA), jumlah pelaburan di luluskan/ total approved investment untuk Suku Pertama 2024 adalah RM 83.7 billion, yang telah mewujudkan 29,027 pekerjaan baru.

8.        Manakala, untuk keseluruhan tahun 2023:

  • jumlah pelaburan di luluskan adalah RM 329.5 billion, meningkat 23% dari RM 267.7 billion (2022)
  • RM 188.4 billion (57.2%) adalah pelaburan asing/ foreign direct investment (FDI), dan RM 141.1 billion (42.8%) pelaburan domestik
  • 127,322 pekerjaan baru telah di wujudkan

9.        Dengan pertumbuhan KDNK yang tinggi dan jumlah pelaburan yang besar, bilangan penganggur dan kadar pengangguran negara telah menunjukkan trend menurun dan stabil.

10.      Pewujudan pekerjaan yang banyak telah berjaya meletakkan kadar pengangguran negara di bawah paras 4%, iaitu paras yang di anggap sebagai guna tenaga penuh/ full employment berdasarkan definisi oleh Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD).

11.      Tatkala pertumbuhan ekonomi yang pesat, kadar inflasi negara pula masih terkawal dengan baik pada kadar 2.0%, tanpa peningkatan yang ketara dan mendadak.

12.      Bahkan, kadar inflasi negara (2.0%) adalah lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran ASEAN, antaranya: Singapura (2.4%), Indonesia (2.5%), Filipina (3.7%).

13.      Malaysia telah berjaya mengelakkan situasi yang di alami oleh Filipina, di mana pertumbuhan pesat (6.3%) telah mendorong kadar inflasi yang meninggi (3.7%).

14.      Indikator-indikator ekonomi berkenaan jelas membuktikan ekonomi negara sedang berada di atas trajektori pertumbuhan yang pesat. Namun begitu, kejayaan awal ini tidak sepatutnya menutup hakikat bahawa transformasi struktur di perlukan untuk membina ekonomi negara yang mampan, inklusif serta berpendapatan tinggi.

15.      Salah satu isu utama negara ialah majoriti pekerja masih menerima pendapatan yang rendah. Ini telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia sukar menghadapi kos sara hidup yang tinggi, seterusnya menjejaskan kualiti dan kesejahteraan hidup.

16.      Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), upah bulanan penengah/ median pekerja sektor formal di Malaysia adalah RM 2,844.

Ini bermakna 50% pekerja sektor formal menerima upah yang melebihi sedikit sahaja dari Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional yang di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia, iaitu RM 2,589.

17.      Secara am-nya, kenaikan gaji pekerja mesti selari ataupun melebihi kadar inflasi. Jika kadar inflasi meningkat lebih tinggi dan pantas dari kenaikan gaji, sudah pasti situasi ini akan membebankan rakyat yang terpaksa menghadapi kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi tanpa kenaikan gaji yang mencukupi.

18.      Justeru itu, baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam bermula Disember 2024. Pelarasan gaji ini di jangka melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 10 billion setahun.

19.      Pelarasan gaji penjawat awam berkenaan boleh di lihat sebagai pemangkin kepada peningkatan gaji di sektor swasta yang merangkumi sekitar 90% daripada jumlah keseluruhan pekerja di Malaysia.

20.      Walau bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya bagaimana Kerajaan Malaysia akan membiayai tambahan perbelanjaan yang besar tersebut, sedangkan kewangan negara masih goyah dengan kedudukan defisit fiskal serta jumlah hutang yang sangat besar.

21.      Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, hutang kerajaan sehingga April 2024 adalah berjumlah RM 1.22 trillion, meningkat RM 50 billion dari RM 1.17 trillion (2023).

22.      Kementerian Kewangan Malaysia turut menyatakan hutang kerajaan meningkat di sebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membuat pinjaman untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan/ development expenditure (DE), di mana DE penting untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Malah, hutang kerajaan akan terus meningkat selagi kedudukan kewangan kerajaan mengalami defisit fiskal, apabila perbelanjaan melebihi pendapatan.

23.      Hakikatnya, usaha mengukuhkan kedudukan fiskal adalah cabaran besar Kerajaan Malaysia, ketika mengimbangi antara keperluan dana untuk pembangunan negara dan mengurangkan jumlah hutang kerajaan ke tahap yang lebih terkawal.

24.      Setakat ini, Kerajaan Malaysia telah berjaya mengurangkan peratusan defisit fiskal, dan berada di landasan yang tepat untuk terus mengukuhkan kedudukan fiskal. Secara idealnya, sasaran atau ultimate target ialah untuk mencapai kedudukan fiskal lebihan/ surplus, apabila pendapatan melebihi perbelanjaan.

Defisit Fiskal202220232024 (unjuran)
% defisit dari KDNK5.6 %5.0 %4.3 %
Jumlah DefisitRM 99.5 billionRM 91.4 billionRM 85.4 billion

25.      Kedudukan fiskal yang lebih kukuh boleh tercapai samada menerusi peningkatan pendapatan kerajaan dan/ atau pengurangan perbelanjaan kerajaan. Formula asasnya adalah mudah tetapi sukar untuk di capai kerana melibatkan pelbagai faktor dan komitmen kerajaan.   

26.      Sebagai contoh. Antara usaha untuk mengurus perbelanjaan secara lebih berhemah, pada bulan Jun 2024, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel, yang di jangka akan menghasilkan penjimatan RM 4 billion setahun.

Tetapi, penjimatan ini masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan tambahan berjumlah RM 10 billion setahun ekoran pelarasan gaji penjawat awam.

Jadi bagaimana kerajaan dapat menampung perbezaan RM 6 billion tersebut?

27.      Kerajaan Malaysia boleh terus berusaha menghasilkan lebih banyak penjimatan menerusi perbelanjaan berhemah. Namun begitu, fokus kepada pengurusan perbelanjaan berhemah semata-mata sudah pasti tidak dapat mengukuhkan kedudukan fiskal.

28.      Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia mesti turut fokus untuk meningkatkan pendapatan. Ini boleh di capai dengan meluaskan saliran pendapatan/ income stream negara. Salah satu pilihan terbaik ialah dengan melaksanakan kembali sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan/ Goods & Services Tax (GST).

29.      Sistem GST sudah di iktiraf sebagai satu sistem percukaian yang berkesan serta menyeluruh, dan dapat mengutip hasil cukai yang tinggi. Ini terbukti di mana 90% negara di seluruh dunia (iaitu sekitar 160 negara) telah melaksanakan sistem GST. Ini termasuklah semua negara-negara ASEAN, kecuali: Malaysia, Brunei dan Myanmar.

30.      Bahkan Kerajaan Malaysia telah melaksanakan sistem GST pada April 2015, tetapi di hentikan dan di ganti semula dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan/ Sales and Service Tax (SST)pada September 2018.

31.      Sejak itu, banyak organisasi serta pakar ekonomi dari dalam negara dan luar negara telah menyeru Kerajaan Malaysia untuk memperkenal semula sistem GST untuk kesejahteraan ekonomi negara.

32.      Beberapa hari lepas, Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD) telah menerbitkan laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2024/ OECD Economic Surveys Malaysia 2024.

33.      Antara lain, OECD telah mengesyorkan perubahan sistem cukai negara supaya dapat menghasilkan pendapatan yang lebih, untuk membiayai pertumbuhan ekonomi negara. Ini termasuklah melaksanakan semula sistem GST.

34.      Malah, dalam laporan OECD Economic Surveys Malaysia 2021, OECD telah mengesyorkan agar Kerajaan Malaysia pertimbang untuk memperkenal semula sistem GST.

35.      Justeru itu, cadangan OECD ini wajar menjadi titik permulaan untuk perbincangan terbuka dan telus oleh semua pihak berkepentingan agar dapat mencapai dasar serta pelaksanaan terbaik untuk memulihkan kedudukan kewangan negara.

36.      Akhirnya ianya akan dapat memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat di serata negara.  

37.      Selamat Hari Merdeka ke-67.

RELATED ARTICLES
Utama

PPS hasrat perkasa wanita muda sebagai pelapis dalam pembuat keputusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular