HomeUtamaEnam daerah di Sabah terlibat dalam misi sukarelawan siswa

Enam daerah di Sabah terlibat dalam misi sukarelawan siswa

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Enam daerah di negeri ini akan terlibat dalam misi sukarelawan siswa yang melibatkan seramai 100 orang sukarelawan siswa terdiri daripada 56 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara menerusi pelaksanaan program Ini Warisan Kita : Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024.

Misi selama 18 hari bermula 1 September lalu adalah melibatkan daerah Penampang; Kudat; Kota Belud; Beaufort; Papar dan Kota Kinabalu.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Saraswathy Kandasami berkata, semua sukarelawan siswa yang terpilih adalah berdasarkan prestasi luar biasa semasa sesi temuduga, lulus tapisan kesihatan mental dan fizikal.

Katanya, program yang dilaksanakan itu merupakan satu inisiatif Kementerian Perpaduan Negara yang dilancarkan pada tahun lalu dan menjadi salah satu pengisian utama dalam program flagship Kembara Perpaduan Malaysia Madani.

“Ini sangat bertepatan dengan hasrat Kerajaan dalam membangun Malaysia Madani yang menerapkan elemen hormat menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah satu platfrom pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melestarikan perpaduan dengan meningkatkan lagi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazah warisan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Flag Off Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pagi tadi.

Majlis pelepasan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Saraswathy berkata, keunikan Sabah yang mempunyai lebih 33 suku kaum dengan lebih 50 bahasa serta 80 dialek menjadi antara sebab utama negeri ini dipilih Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Katanya, sukarelawan ini akan ditempatkan bersama komuniti selama 10 hari di lapangan sekaligus memberi peluang para siswa meningkatkan lagi pemahaman dan menghayati keistimewaan Sabah.

“Sehingga tahun lalu, sebanyak tujuh misi sukarelawan siswa ke Sabah telah dijalankan di 36 buah Lokasi dengan penglibatan seramai 608 sukarelawan siswa telah melaksanakan sebanyak 1,054 projek sukarelawan,” katanya.

Dalam pada itu, Saraswathy berkata, pada misi kali ini beberapa projek utama telah dikenal pasti antaranya membaik pulih Kompeni A, Batalion 2, infrastuktur sekolah dan masjid.

Selain itu katanya, sukaelawan juga akan mengadakan projek sukarelawan berdasarkan enam tera kesukarelawanan YSS mengikut keperluan Lokasi. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular