HomeSukanKeputusan Sabah tidak jejas persiapan Sukan SEA 2027: Hannah

Keputusan Sabah tidak jejas persiapan Sukan SEA 2027: Hannah

Read Time:1 Minute, 59 Second

BERNAMA

Paris: Persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 tidak terjejas meskipun Sabah memutuskan mahu mempertimbangkan semula cadangan menjadi penganjur bersama temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Majlis Sukan Negara tetap meneruskan persiapan penganjuran apatah lagi mendapat komitmen tinggi dari Sarawak dan Pulau Pinang untuk menjadi hos bersama.

Hannah berkata beliau juga telah memberikan maklum balas dengan menyambut baik keputusan terbaharu Kabinet Sabah itu kelmarin.

“Kita hormati keputusan negeri Sabah (penganjuran Sukan SEA 2027)….MSN memang akan teruskan persiapan Sukan SEA 2027 kerana kita telah dapatkan kelulusan jemaah menteri,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli beraksi pada final acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Paris La Defense Arena di sini.

Nur Syaiful menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 34.34 saat (s) manakala perenang dari China mendominasi podium menerusi Guo Jincheng yang merekodkan 29.33s sekali gus memecahkan rekod dunianya sendiri iaitu 29.78s bagi membawa pulang emas.

Rakan senegaranya Yuan Weiyi (30.80s) meraih perak dan Wang Lichao (31.23s) pula memperoleh gangsa.

Minggu lepas, Hannah memaklumkan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bersama-sama Kuala Lumpur bagi penganjuran Sukan SEA 2027 yang dianggarkan menelan kos RM700 juta.

Bagaimanapun, media semalam melaporkan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, mendedahkan kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran bersama Sukan SEA 2027 dan hari ini mereka memaklumkan mahu mempertimbangkan semula cadangan menjadi hos bersama temasya itu.

Sementara itu, Hannah optimis sekiranya jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin menampilkan prestasi terbaiknya esok, Malaysia berpotensi untuk merangkul emas kedua di Paris.

Jaguh badminton para negara, Cheah Like Hou muncul atlet pertama Malaysia memenangi emas pada Paris 2024 dengan menumpaskan Suryo Nugroho, 21-13, 21-15 dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Porte de La Chapelle Arena, Isnin lepas.

Malaysia juga berjaya merangkul perak menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatatan intelektual) selain Eddy Bernard yang membawa pulang gangsa 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Sementara itu, dalam pertemuannya dengan atlet negara di perkampungan sukan, Hannah berkata 18 atlet yang membuat penampilan pertama di pentas Paralimpik rata-ratanya mahu dihantar lebih kerap ke kejohanan luar bagi memperoleh pengalaman.

Beliau juga sempat meninjau fasiliti disediakan Institut Sukan Negara selain penyediaan menu halal yang dihidangkan untuk atlet para negara.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

280 peserta sertai ‘Tropical Rainforest Run 2024’ Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular