Semporna: Penduduk di Pulau Omadal, di sini merakamkan ucapan terima kasih kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) atas keprihatinan memastikan komuniti di pulau itu terus menikmati bekalan elektrik.
Ketua kampungnya, Nattang @ Ahmad Jais Satari, 65, memaklumkan pihak SESB banyak membantu mereka dalam pengoperasian Stesen Solar Hibrid (SSH).
“Sebelum ada solar, penduduk menggunakan genset dengan kos pembelian minyak diesel yang tinggi dan membebankan orang kampung.
“Namun, selepas ada SSH, kos yang perlu ditanggung melalui bayaran bil kepada SESB lebih murah berbanding menggunakan genset,” katanya.
Nattang berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja SESB untuk meninjau SSH di sini baru-baru ini.
Lawatan tersebut diketuai Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar serta pegawai-pegawai kanan SESB.
Menurut Nattang, SSH juga banyak membantu penduduk setempat dalam meningkatkan taraf hidup mereka.
“Dengan bekalan elektrik yang stabil, anak-anak kami dapat belajar pada waktu malam, dan perniagaan kecil di sini juga boleh beroperasi dengan lebih lancar.
“Sekiranya berlaku sebarang gangguan atau masalah teknikal, pihak SESB hadir untuk membantu kami dengan segera apabila aduan dibuat.
“Saya juga sangat terharu dan berterima kasih kepada Datuk Seri Madius yang turut hadir sendiri melihat keadaan solar kami di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Omadal, Boneka Halail, 52, turut menzahirkan rasa syukur atas inisiatif kerajaan dan SESB dalam membantu penduduk pulau menikmati kemudahan elektrik walaupun berada di kawasan yang terpencil.
“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan dan SESB kerana dengan adanya SSH ini, kami tidak lagi perlu bimbang tentang bekalan elektrik, walaupun pulau ini masih belum disambungkan ke grid utama,” katanya.
Terdahulu, Madius memaklumkan, sistem solar hibrid tersebut merupakan gabungan teknologi panel solar, bateri dan enjin yang menggantikan penggunaan genset tradisional.
“Dahulu, penduduk kampung terpaksa bergantung kepada generator, lilin, atau pelita untuk mendapatkan bekalan elektrik. Namun, bekalan tersebut sangat terhad disebabkan kos minyak yang tinggi.
“Dengan adanya SSH ini, saya yakin kehidupan penduduk di sini menjadi lebih selesa dan stabil, serta mereka kini dapat menikmati kemudahan elektrik sepanjang hari,” katanya.
Untuk rekod, SSH merupakan sebuah projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan kini dikendalikan oleh SESB bagi memastikan bekalan elektrik yang berterusan dan berkualiti kepada penduduk di kawasan luar bandar. – SABAH MEDIA / FOTO SESB