HomeUtamaKerajaan bersikap adil kepada semua rakyat, termasuk pembangkang

Kerajaan bersikap adil kepada semua rakyat, termasuk pembangkang

Read Time:1 Minute, 33 Second

Tuaran : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini, termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya dan kerajaan pimpinannya, soal keadilan tetap menjadi pegangan beliau.

Katanya, atas prinsip itu, beliau berusaha sebaik mungkin memberikan layanan yang adil kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.

Malah, katanya beliau sendiri meluluskan permohonan pemimpin pembangkang yang memohon biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anak mereka atas dasar keprihatinan beliau terhadap anak-anak Sabah.

“Azis Jaman (Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jaman) punya permohonan biasiswa untuk anaknya pun saya luluskan, apa lagi yang kita tidak buat. Saya adil apabila dia dan isteri datang jumpa di pejabat.

“Kerana keprihatinan saya, anak-anak itu mesti ditolong dan kita luluskan biasiswa untuk dia. Saya tidak pernah fikir hanya untuk ahli parti saya saja, tapi untuk semua.

“Ada juga anak pemimpin pembangkang lain yang mendapat kemudahan, kita bagi. Saya tidak sanggup (mengabaikannya). Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan sesiapa walaupun kita adalah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, atas prinsip keadilan itu juga beliau mahu pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua cawangan, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga bertindak dengan adil.

“Mana-mana rakyat kita yang perlu bantuan di kampung, jangan pilih kasih, bagi maklumat yang betul kepada kerajaan atau kepada wakil rakyat.

“Ini prinsip saya pegang selama 35 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, tanyalah kawan-kawan di sini. Sebagai manusia, ramai juga yang tidak suka saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular