SANDAKAN – 800 kilogram ikan bilis kering dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan di perairan Sandakan baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam OP PLUTO TIMUR / OP KHAS CEGAH PATI (OCP) UTARA COVID 19 DAN OP TIRIS 3.0 telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 5.2 batu nautika timur laut Tanjung Pamaguan sedang menuju ke Pulau Taganak pada pukul 1.25 petang hari kejadian.
Setelah pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang awak-awak masing-masing berumur 35 dan 56 tahun yang mana kedua- duanya merupakan warga asing.
Pemeriksaan lanjut ke dalam vesel seterusnya menemui 13 guni berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 800 kilogram dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina.
Nilai rampasan termasuk ikan bilis kering, enjin sangkut dan vesel dianggarkan berjumlah lebih RM48 ribu.
Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia kerana membawa keluar ikan bilis kering untuk tujuan eksport tanpa lesen yang sah, kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera