HomeUtamaMasyarakat diseru cakna aspek kesejahteraan, keselamatan keluarga

Masyarakat diseru cakna aspek kesejahteraan, keselamatan keluarga

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Belud : Masyarakat khususnya di negeri ini diseru agar sentiasa cakna terhadap aspek kesejahteraan dan keselamatan keluarga.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata, keluarga merupakan unit asas dalam masyarakat dan menjadi tunjang kepada pembentukan komuniti yang kukuh serta sejahtera namun data terkini menunjukkan terdapat peningkatan dalam kes-kes yang melibatkan keselamatan keluarga.

“Berdasarkan Laporan Statistik Keselamatan Keluarga 2023, terdapat peningkatan sebanyak 15 peratus dalam kes-kes penderaan kanak-kanak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini amat membimbangkan kerana melibatkan penderaan berbentuk fizikal, seksual, emosi serta pengabaian kanak-kanak dan pelakunya pula melibatkan ibu bapa kandung, pengasuh dan pusat jagaan.

“Statistik ini bukan angka semata-mata tetapi mewakili jiwa kanak-kanak yang merupakan golongan rentan yang sepatutnya dilindungi dan disayangi tetapi digagalkan oleh orang dewasa di sekelilingnya.

“Justeru, ini menunjukkan betapa perlunya kita memperkukuhkan lagi usaha-usaha mendidik ibu bapa dan komuniti mengenai aspek keselamatan dan kesejahteraan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikiam ketika berucap merasmikan Jerayawara Santuni Komuniti Madani Ilmu Keluarga @LPPKN : Cakna Keselamatan Keluarga di Dewan Serbaguna Kg. Taun Gusi 1 di sini.

Juliah yang juga Yang DiPertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS) turut berpesan kepada ibu bapa agar memberikan tumpuan kepada aspek kesihatan mental keluarga.

“Statistik Kesihatan Mental Keluarga 2023 menunjukkan 30 peratus daripada ibu bapa mengalami tekanan yang tinggi akibat cabaran dalam membesarkan anak-anak.

“Sekiranya ibu bapa mengalami tekanan emosi yang melampau, maka adalah wajar mereka mendapatkan konsultasi daripada mana-mana kaunselor berdaftar mahupun pakar psikiatri bagi menangani tekanan yang dialami serta menggalakkan kesejahteraan mental dalam kalangan keluarga,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan penyampaian sumbangan RM2,000 kepada Tahfiz Darul Bakti dan penyampaian bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM12,500 kepada 125 murid asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari yang juga Pengerusi Sabah Softwood Berhad, Pengerusi PERMATA Tempasuk, Datin Sarina Mohd Yaakub, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah, Suszma Khairitszi Mamat, Naib Yang DiPertua I MUTIARA-GRS, Datin Seri Panglima Cecilia Edwin Kitingan dan Naib Yang DiPertua III MUTIARA-GRS, Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi yang juga Setiausaha Kehormat MUTIARA-GRS.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular