HomeUtamaUmat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa

Umat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa

Read Time:2 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap terjamin dan terbela.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa dan negara.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata, sebaliknya salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa terutama sekali di kalangan anak-anak muda dan belia muslim dewasa ini.

Tambahnya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

“Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama,isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan buatan (AI), penggunaan robotik dan sebagainya akan meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia.

Katanya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.

Menurutnya lagi, modal insan yang berkualiti adalah pra syarat terpenting dalam mencapai wawasan negeri dan negara, kerana tanpa nilai atau kualiti yang tinggi, negara akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk bersiang dalam apa jua bidang dan arena di peringkat antarabangsa.

“Justeru hasrat murni kerajaan ini, bukan sahaja harus disambut baik oleh seluruh rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan yang berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, dibawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan menyediakan pelbagai insentif berupa bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar cemerlang di negeri ini, termasuk golongan yang kurang berkemampuan, bagi membantu meringankan bebanan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, kerajaan juga memperkenalkan beberapa anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul SAW sebagai imbuhan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah, membantu mempermudah urusan maslahah rakyat dan sebagainya.

“Insentif ini sebagai motivasi kepada masyarakat Islam untuk terus mencontohi dan meneladani Rasululllah SAW dalam urusan beramal kebajikan yang secara tidak langsung mengagungkan kerasulan baginda serta membela agama Allah SWT dengan penuh istiqamah dan keikhlasan,” katanya.

Terdahulu, Hajiji bersama Tun Juhar diiringi dif- dif kenamaan bersama lebih 7000 umat Islam mengikuti perarakan ke SICC. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular