HomeUtamaAmalan Kartel dan Monopoli wujud berleluasa dalam sektor pertanian negara?

Amalan Kartel dan Monopoli wujud berleluasa dalam sektor pertanian negara?

Read Time:6 Minute, 18 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

MINGGU lepas, ketika merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2024 (MAHA 2024), Perdana Menteri Malaysia telah menegaskan bahawa amalan kartel dan monopoli untuk baja dan benih di dalam sektor pertanian negara mesti dihentikan segera.

Beberapa hari selepas itu, Ketua Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia/ Malaysia Competition Commission (MyCC) telah memaklumkan bahawa laporan hasil kajian am mengenai industri padi dan beras negara oleh MyCC akan dibentangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) pada akhir bulan September 2024. Seterusnya, laporan berkenaan akan di bentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM).

Beliau menegaskan laporan ini adalah kajian am terhadap permasalahan industri padi dan beras negara, dan bukannya satu siasatan.

Arahan Perdana Menteri Malaysia tersebut menggambarkan amalan kartel dan monopoli sememangnya wujud serta berleluasa di dalam sektor pertanian negara untuk sekian lama. Namun begitu, gambaran ini seolah-olah bertentangan dengan kenyataan serta pendirian oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM).

Pada awal Januari 2024, KPKM telah mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan kewujudan kartel atau mafia yang menentukan harga padi, beras dan benih padi.

    KPKM menyatakan bahawa pelbagai lesen berjumlah 39,000 di keluarkan oleh pihak KPKM, seperti: Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi Benih Padi Sah (BPS).

    Oleh itu, dengan jumlah lesen yang begitu banyak, KPKM menjelaskan bahawa tiada kartel atau mafia yang di dakwa wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras negara.

    Di samping itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) turut menolak kemungkinan wujud kartel di dalam industri padi negara, seperti yang berlaku di dalam industri ternakan ayam dan daging. Malah, beliau menyatakan purata hasil padi negara rendah berpunca dari pengurusan yang kurang efisyen, dan bukannya di sebabkan oleh dakwaan amalan kartel yang mengawal industri padi.

    Fakta menarik: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di tubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1972 sebagai badan induk kepada persatuan-persatuan peladang seluruh negara. Idea penubuhan NAFAS di usulkan oleh Tun Abdul Razak susulan lawatan ke Taiwan.

    Menurut data sedia ada, NAFAS memiliki struktur 3 peringkat dengan lebih 900,000 ahli di seluruh negara.

    Maka, percanggahan sebegini sudah pasti menimbulkan keraguan serta keresahan rakyat samada Kerajaan Malaysia benar-benar bertekad untuk memerangi amalan kartel dan monopoli di dalam sektor pertanian negara. Mana mungkin sebarang usaha memerangi amalan kartel dan monopoli akan berjaya sekiranya kementerian yang bertanggungjawab menguruskan sektor pertanian negara sendiri menafikan kewujudkan kartel atau mafia.

    Untuk sekian lama, pelbagai pihak berkepentingan telah menyuarakan kegusaran mengenai kartel yang menguasai sektor pertanian negara secara senyap, termasuklah di dalam industri padi dan beras negara. Malah, kartel berkenaan di dakwa sangat berkuasa dan berleluasa sehinggakan boleh mengganggu-gugat agenda keterjaminan makanan negara.

    Sebagai contoh. Sejak tahun 2022, Menteri Besar Kedah sudah berulang kali menyuarakan secara terbuka mengenai kartel yang sudah lama wujud di dalam industri padi negara. Menurut beliau, amalan kartel ini telah dapat mengawal industri padi dan seterusnya meraih keuntungan besar.

    Akhirnya, amalan kartel yang greedy dan selfish ini telah mengakibatkan petani kekal miskin.

      Selain itu, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia juga mendakwa kewujudan kartel di dalam industri padi negara. Beliau mendakwa kartel ‘orang tengah’ mengawal hampir 95% penghasilan padi negara. Antara lain, kartel ini memiliki kuasa sedemikian kerana para petani bergantung dan terhutang budi kerana menerima dana pinjaman daripada kartel berkenaan di permulaan setiap musim menanam padi.

      Sehubungan dengan saranan Perdana Menteri Malaysia tersebut, menangani amalan kartel dan monopoli di dalam industri padi negara mesti menjadi salah satu keutamaan kerana ianya melibatkan makanan utama rakyat Malaysia.

      Sejak tahun 1998, NAFAS telah di lantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai satu-satunya pembekal dan pengedar baja kepada petani padi di seluruh negara, di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

      Ini bermakna, sudah lebih 25 tahun NAFAS di beri monopoli untuk pembekalan baja berkenaan.

      Selain itu, NAFAS turut di lantik oleh Kerajaan Malaysia untuk membekalkan baja NPK Tambahan di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB).

        Memandangkan NAFAS adalah ‘milik’ para petani sendiri, maka mudah untuk memahami mengapa Kerajaan Malaysia telah menganugerahkan kontrak pembekalan baja kepada NAFAS. Apabila NAFAS memperolehi keuntungan menerusi kontrak pembekalan baja ini, keuntungan tersebut boleh di nikmati oleh para petani sebagai ahli NAFAS.

        Hakikatnya, inilah pertimbangan di sebalik penganugerahan kontrak pembekalan baja kepada NAFAS. NAFAS adalah petani, petani adalah NAFAS.

        Namun begitu, pelaksanaan skim baja berkenaan telah di selubungi dengan pelbagai isu, termasuklah: ketirisan, penyelewengan serta kelewatan pembekalan kepada petani. Malangnya, isu-isu tersebut kerap dan terus berlaku, serta sudah berlanjutan untuk tempoh masa yang lama.

          Pada November 2023, Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022) telah menonjolkan kelemahan pengurusan serta pengagihan baja kepada petani padi di seluruh negara.

          Menurut LKAN 2022, insiden kelewatan pengagihan baja telah kerap berlaku, di mana petani padi menerima bekalan baja melewati jadual pembajaan yang sewajarnya. Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) telah mengenakan denda kepada pembekal baja terbabit:
          Jumlah Denda Kelewatan iaitu;
          2016 – 2019 RM 211.27 juta
          2020 – 2021 RM 57.43 juta

          Apa yang menakjubkan ialah KPKM telah membuat keputusan untuk memberi pengecualian 100% berjumlah RM 211.27 juta bagi denda yang di kenakan untuk tahun 2016 – 2019.

          Apakah kewajaran KPKM untuk memberi pengecualian 100% denda tersebut?

          Pengecualian 100% denda tersebut sememangnya tidak wajar, dan di lihat lebih kepada melindungi kepentingan pembekal dari kepentingan negara dan petani sebagai petani.

            Fakta menarik: Menurut LKAN 2022, di antara tahun 2019 – 2022, Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) telah memperuntukkan dana sebanyak RM 6.82 billion untuk program penanaman padi negara.

            Ini termasuklah subsidi dan insentif seperti: Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

            Dengan jumlah subsidi dan insentif yang begitu besar setiap tahun, rata-rata rakyat Malaysia binggung dan marah industri padi dan beras negara tidak membangun dan masih berada di takuk yang sama.

              Situasi ini seumpama: pour good money after bad. Pi mai pi mai tang tu.

              Pada akhir Jun 2023, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia di laporkan berkata bahawa KPKM akan mengadakan perbincangan mengenai kontrak NAFAS membekal baja, memandangkan kontrak tersebut bakal tamat pada penghujung tahun 2023.

                Menurut beliau, KPKM yakin NAFAS masih mampu untuk terus membekalkan baja kepada petani padi di seluruh negara, dan tiada masalah untuk NAFAS di berikan kontrak baru. Namun begitu, beliau di laporkan tidak berani menyatakan samada NAFAS akan kekal mendapat 100% atau monopoli kontrak pembekalan baja berkenaan.

                Walau bagaimanapun, sehingga kini, sudah lebih satu tahun, tiada sebarang maklumat mahupun pengumuman samada kontrak NAFAS telah di perbaharui, dan samada NAFAS kekal memegang monopoli kontrak pembekalan baja kepada petani padi.

                Beberapa hari lepas, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) di laporkan menyeru agar kedudukan NAFAS sebagai pembekal dan pengedar baja subsidi di seluruh negara tidak di gugat. Menurut beliau, demi menjaga kepentingan petani sebagai ahli NAFAS, kontrak pengedaran baja tidak wajar di berikan kuota kepada syarikat swasta.

                Pada masa yang sama, beliau mengesyorkan agar NAFAS menjalani reformasi kepimpinan agar dapat di uruskan dengan lebih baik. NAFAS juga perlu di beri suntikan dana agar dapat meningkatkan inovasi penghasilan baja.

                Maka, saranan Perdana Menteri Malaysia tersebut di pentas MAHA 2024 seolah-olah menggambarkan monopoli NAFAS sebagai pembekal baja kepada petani padi bakal berakhir.

                Memandangkan NAFAS adalah ‘milik’ petani, sudah pasti NAFAS akan terus di lantik sebagai pembekal baja, tetapi tidak lagi 100% ataupun secara monopoli. Dengan itu, kepentingan petani sebagai ahli NAFAS masih terjaga.

                Pelantikan lebih dari satu pembekal baja sewajarnya dapat menangani isu-isu berbangkit sediada mengenai pembekalan dan pengedaran baja kepada para petani. Oleh itu, pelaksanaan skim baja negara sepatutnya menjadi lebih cekap, tepat dan pantas.

                RELATED ARTICLES
                Utama

                Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

                LEAVE A REPLY

                Please enter your comment!
                Please enter your name here

                Most Popular