HomeUtamaBekalan air di UMS mencukupi, sedia tampung keperluan pelajar

Bekalan air di UMS mencukupi, sedia tampung keperluan pelajar

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus induk berada pada tahap yang mencukupi dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar bagi kemasukan sesi 2024/2025 yang mula mendaftar hari ini dan esok.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, selain bekalan air, kemudahan dan fasiliti yang disediakan universiti itu juga berada dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan oleh para pelajar.

“Tinjauan dan lawatan saya ke penginapan pelajar khususnya melibatkan bekalan air yang dibekalkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah mencukupi dan kita harap ia berterusan.

“Saya juga telah melihat beberapa sumber air yang telah kita buat melalui telaga tiub yang menjadi sumber air yang boleh digunakan sekiranya bekalan dari JANS tidak mencukupi. Pihak JANS juga akan memastikan bekalan air di kolej kediaman pelajar mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 4,545 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke UMS bagi kemasukan sesi 2024/2025.

Dr Kasim berkata, jumlah tersebut melibatkan 3,640 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 701 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan 204 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 3,286 (72.3 peratus) pelajar dari Sabah, 718 (15.8 peratus) dari Semenanjung Malaysia, 470 (10.3 peratus) dari Sarawak, dan 56 (1.2 peratus) dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“15 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari lima buah negara, iaitu Negara China, Jepun, Brunei, Pakistan dan Indonesia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,468 orang atau 32 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 3,077 orang atau 68 peratus merupakan pelajar perempuan.

“Pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,579 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 9 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), 11 atlet sukan, dan 2 orang asli.

“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 6 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus,” katanya.

“Pentadbiran universiti juga telah menetapkan masa-masa tertentu yang berbeza bagi urusan pendaftaran antara pelajar baharu sebagai usaha untuk mengelakkan kesesakan pada hari pendaftaran.

“Justeru, dapat dilihat suasana dan proses pendaftaran pada hari ini begitu teratur hasil penambahbaikan yang dilakukan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Tabung Pendidikan DJR Sugut ditubuhkan, bantu pelajar lanjut pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular