HomeUtama657 siri tambahan Program Jualan Rahmah sehingga hujung Disember ini di Sabah...

657 siri tambahan Program Jualan Rahmah sehingga hujung Disember ini di Sabah – Armizan

Read Time:2 Minute, 25 Second

KUNAK: Sebanyak 657 siri tambahan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Sabah bermula daripada 1 Oktober sehingga penghujung Disember ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, PJRM dimulakan sejak tahun 2023 dan mendapat sambutan cukup hangat daripada masyarakat dan ini merupakan satu langkah intervensi kerajaan bagi menangani kos sara hidup, melalui PJRM ini barangan ditawarkan diberi diskaun pada kadar 10 hingga 30 peratus, sekali gus ini banyak membantu masyarakat.

“Bermula 1 Januari 2024 hingga semalam kita telah menganjurkan sebanyak 747 siri Jualan Rahmah seluruh negeri Sabah.

“Justeru, saya telah mengarah supaya tiga bulan terakhir bagi tahun 2024 ini dilipatgandakan, diperbanyakkan kekerapan PJRM ini dan kita telah putuskan di negeri Sabah ini, tiga bulan terakhir ini, setiap bulan tiga siri PJRM untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), maksudnya kita di Sabah ini 73 DUN, tiga siri untuk setiap bulan jadi jumlah sehingga hujung tahun kita sasarkan sebanyak 657 siri tambahan PJRM di Sabah bermula daripada 1 Oktober sehingga penghujung Disember ini, jadi kita harapkan adanya PJRM ini akan dapat membantu khususnya golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih Bertemu Masyarakat seterusnya meninjau PJRM yang diadakan di Dewan Arena Belia di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Armizan berkata, pihak KPDN juga bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk mengenal pasti lokasi-lokasi golongan sasar yang memerlukan barangan bersubsidi.

“Kita akan bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat kita untuk mengenal pasti lokasi-lokasi golongan sasar yang memerlukan dalam konteks bantuan subsidi supaya barangan dapat dijual pada harga diskaun ini.

“KPDN juga telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan tahun 2025 Belanjawan yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada sidang Parlimen bulan Oktober ini.

“Salah satu komponen yang kita mohon itu adalah peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan kepada KPDN bukan hanya untuk meneruskan PJRM ini tetapi kita mensasarkan supaya dengan peruntukan yang bertambah kekerapan PJRM ini akan dapat diperbanyakkan lagi di seluruh negara bukan hanya di Sabah, jadi kita mengharapkan Menteri Kewangan dan pihak kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan daripada KPDN ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklum penganjuran PJRM ini juga termasuk di kawasan luar bandar.

“PJRM ini termasuk kawasan luar bandar, selain kita juga ada Program Pengedaran Barang Perlu untuk kawasan-kawasan pedalaman di mana kawasan tersebut barang-barang kawalan bersubsidi sebelum adanya PJRM ini dijual dengan kadar yang agak tinggi kerana kos logistik walaupun ada kawalan barangan contohnya gula dan minyak masak paket.

“Tetapi disebabkan kos logistik ada kawasan-kawasan tertentu yang peniaga terpaksa menanggung kos logistik itu maka menjual pada harga yang lebih tinggi.

“Justeru, kita adakan Program Pengedaran Barang Perlu itu, kita memberikan subsidi kepada pengangkutan untuk membolehkan barangan daripada pusat sampai kepada rakyat di pedalaman dan dapat menikmati penjualan barangan bersubsidi sebagaimana barangan yang dimanfaati oleh masyarakat di bandar. Program ini kita mohon untuk diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tabung Pendidikan DJR Sugut ditubuhkan, bantu pelajar lanjut pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular