HomePolitikWanita Gagasan Rakyat perlu lebih agresif turun padang - Redonah

Wanita Gagasan Rakyat perlu lebih agresif turun padang – Redonah

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA BELUD: Kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat Sabah diminta melaksanakan gerak kerja turun padang dengan lebih agresif dalam mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, berikutan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, seluruh jentera sepatutnya tidak lagi boleh bersikap selesa dengan pencapaian yang ada.

“Kita mahu semua jentera di seluruh peringkat melipat ganda gerak kerja mereka supaya kita lebih dekat dengan rakyat selain mengenal pasti apa masalah atau isu yang ada.

“Kita tidak mahu apabila PRN nanti baru semua mahu bekerja mencari rakyat, kita jangan menjadi seperti pembangkang yang mencari pengundi secara bermusim ketika pilihan raya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita PGRS Bahagian Tempasuk di Dewan Serbaguna Kampung Taun Gusi, Kota Belud kelmarin.

Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk, Nurul Fadzilah Noordin, ketua-ketua Wanita komponen Gabungan Rakyat Sabah, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din dan ahli-ahli Wanita Gagasan Rakyat bahagian Tempasuk.

Redonah berkata, jentera pilihan raya juga perlu memastikan kemenangan kekal kepada calon PGRS yang disandang sekarang ini.

“Kita mesti pertahankan DUN Tempasuk pada PRN ke-17 yang akan datang. Kita mesti saling bekerjasama sebagai satu pasukan Wanita, Pemuda dan Beliawanis bukan sahaja kemenangan tetapi juga menambah undi yang sedia ada.

“Bagi mencapai hasrat itu, jentera Wanita perlu memperkasakan program-program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai dalam setiap gerak kerja,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kepimpinan Wanita PGRS termasuk di peringkat bahagian dan cawangan supaya kekal mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri antara satu sama lain.

Katanya, generasi muda juga perlu didekati dengan menggunakan pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan masa kini.

Tambah beliau, zaman sudah berubah dan kaedah untuk berhubung serta mendekatkan diri dengan generasi muda juga perlu seiring dengan perubahan supaya sebarang tindakan akan lebih berkesan dan mencapai matlamat.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Gagasan Rakyat yakin rampas kerusi DUN Karambunai pada PRN17 – Arshad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular