HomeUtamaKecekalan Rafida boleh dijadikan contoh dan pencetus semangat untuk berjaya

Kecekalan Rafida boleh dijadikan contoh dan pencetus semangat untuk berjaya

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Pelajar jurusan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Rafida Zaiddin yang tular sejak beberapa hari lalu selepas mendaftar masuk ke kampus dengan menggunakan beg karung bagi memuatkan barang-barang peribadi boleh dijadikan contoh dan iktibar kepada pelajar lain.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansur berkata, pelajar yang berasal dari Kampung Sim-Sim, Sandakan itu akan menuntut di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Katanya, Rafida juga boleh menjadi menguat azam kepada pelajar lain selain menjadi pencetus semangat untuk terus berjaya menempuh alam universiti agar menjadi orang yang berjaya dan berguna.

“Sesungguhnya kekurangan kemampuan itu bukan penghalang malah ianya membakar semangat kita untuk terus berjaya dan maju ke hadapan.

“Saya menyifatkan tindakan pelajar tersebut sebagai suatu yang kreatif dan menjimatkan apabila barang-barang keperluan dan kelengkapan dimasukkan sekali ke dalam satu bekas beg agar tidak berciciran ketika beliau dan bapanya menaiki bas dari Sandakan menuju ke Kota Kinabalu pada Sabtu lepas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini hari ini.

Dr Kasim pagi tadi sempat bertemu sendiri dan beramah mesra bersama Rafida pada Majlis Suai Mesra di Dewan Canselor pagi tadi.

Rafida menjadi tumpuan media dan orang ramai apabila beliau hangat memperkatakan berkenaan kehadirannya untuk mendaftar masuk ke kampus dengan menggunakan beg karung bagi memuatkan barang-barang peribadi beliau. 

Dalam pada itu, Dr Kasim juga telah  meminta pihak Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk membantu pelajar tersebut dan juga pelajar-pelajar lain yang memerlukan bantuan dari segi bantuan peribadi mahupun sokongan moral.

Katanya, ia adalah bagi memberi dorongan dan semangat kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dari golongan B40.

Dianggarkan seramai 3,544 mahasiswa yang telah berjaya mendaftar masuk ke UMS sekitar petang semalam dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat lagi sehingga hujung minggu ini dengan unjuran pelajar seramai 4,545 orang. 

Dr Kasim turut merakamkan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Menteri Pendidikan Malaysia atas keprihatinan beliau kepada pelajar ini dan juga seluruh warga UMS serta orang ramai atas kepedulian dan sikap ambil berat kepada seluruh pelajar UMS. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular