HomeUtamaKontraktor laksana LPB Sabah diberi amaran

Kontraktor laksana LPB Sabah diberi amaran

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu: Semua kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi pakej kerja Fasa 1B melibatkan 19 pakej kerja diberi amaran untuk supaya memastikan projek berjalan lancar.

Amaran itu disuarakan Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Sesi Suai Kenal bersama kontraktor projek LPB Sabah bagi Fasa 1B di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

“Memang ada saya buat amaran tadi, kita mestilah mengelakkan masalah atau pun isu-isu yang mengekang kepada kelancaran perjalanan pelaksanaan projek ini, kita jangan ulangi.

“Sekurang-kurangnya kita sudah belajar apa yang menyebabkan masalah kelewatan atau projek iti tidak dapat dilaksanakan.  Saya mohon semua pihak, lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang berkaitan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian dan bersama pihak kerajaan negeri serta semua agensi Kerajaan yang terlibat supaya kerap bermesyuarat selain memastikan kordinasi di antara semua pihak ini dpaat kita pantau dengan rapi,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Alexander berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek dikhususnya yang berlaku di tapak atau masalah yang dihadapi.

“Ya, memang sebab pengalaman kita di Sarawak dengan adanya jawatankuasa begitu, memang lebih mudah untuk kita pantau apa berlaku di tapak atau apa masalah yang dibagi kontraktor. Jadi bagi saya memang wajar ditubuhkan jawatankasa begitu.

“Kita akan letak jawatankuasa itu kepada Menteri KKR Sabah dan KSU untuk berkoordinasi terlebih dahulu bagaimana wujudkan jawatankuasa,” katanya.

Terdahulu, SST untuk Pakej Kerja Fasa 1B telah diserahkan kepada 13 kontraktor melibatkan tiga dari Semenanjung dan 10 dari Sabah.

Fasa 1B telah dipecahkan kepada 19 Pakej Kerja daripada keseluruhan 35 Pakej Kerja untuk LPB Sabah Fasa 1.

Skop projek yang terlibat adalah pembinaan Jalan Persekutuan baharu dari Kota Belud ke Kudat serta penambahbaikan Jalan Persekutuan dari Ranau ke Lahad Datu sepanjang 370 kilometer.

Tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B ini adalah di antara 36 sehingga 48 bulan dan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan berjumlah RM13.989 bilion.

Pakej Kerja Fasa 1B akan dilaksanakan meliputi Jajaran North West: Pakej Kerja 11-14 (Kota Belud ke Kudat); Jajaran South East: Pakej Kerja 16-20 (Tawau ke Lahad Datu); Jajaran North East: Pakej Kerja 22-26 (Lahad Datu ke Sandakan); dan Jajaran Central: Pakej Kerja 31-35 (Telupid ke Ranau). – SABAH MEDIA / FOTO KKR MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular