HomeUtamaLapangan Terbang Tawau bakal hab baharu Air Asia

Lapangan Terbang Tawau bakal hab baharu Air Asia

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : AirAsia sedang memperluaskan operasinya di Sabah dengan mengembangkan hab Kota Kinabalu dan menjadikan Tawau sebagai hab terbaharunya.

Perkembangan itu dikongsikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Datuk Kapten Chester Voo dalam taklimatnya kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Christina Liew, di sini, semalam.

Katanya, usaha berkenaan selaras dengan rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak penerbangan antarabangsa terus ke Asia Utara dalam rancangan syarikat penerbangan itu pada tahun depan.

Menurutnya, Sabah sentiasa menjadi salah satu destinasi paling popular dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan yakin Tawau akan menjadi hab baharu yang strategik untuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus berpotensi, termasuklah ke Shanghai, Guangzhou dan Taipei.

“Melalui perkhidmatan Fly-Thru sedia ada AirAsia, kami juga komited untuk mengukuhkan hubungan Sabah dengan destinasi antarabangsa lain di seluruh Asia, Australia dan seterusnya.

“Kerajaan Sabah telah menyokong perjalanan pertumbuhan kami, dan apabila negeri ini terus memajukan aspirasi ekonominya, diharapkan dapat bekerjasama dengan perniagaan tempatan dan komuniti bagi menyokong pembangunan mampan. Kami berada di sini untuk anda (Sabah),” katanya.

Dalam penerangannya kepada Christina mengenai rangkaian dan kehadiran AirAsia di Sabah setakat Oktober 2024, Voo berkata syarikat penerbangan itu mengendalikan 370 penerbangan mingguan ke negeri ini dengan lebih 77 peratus adalah untuk laluan domestik.

Katanya, daripada 34 laluan sedia ada AirAsia, 15 adalah laluan domestik dan selebihnya antarabangsa.

“AirAsia merancang untuk menyediakan kapasiti 5.71 juta penumpang pada 2024 dengan rancangan untuk memperluaskan angka ini kepada 7.87 juta pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 38 peratus.

“Sehingga 31 September lalu, AirAsia telah membawa sejumlah 4.61 juta penumpang bagi tahun ini,” katanya.

Dalam hal itu, Voo menekankan kepentingan mewujudkan kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa lapangan terbang.

Jelasnya, infrastruktur yang mencukupi dan struktur kos yang optimum di Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) adalah penting untuk menyokong rancangan pengembangan AirAsia.

Sebagai tindak balas, Christina memberi jaminan kepada AirAsia bahawa beliau akan mengemukakan isu syarikat penerbangan itu kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan setelah kementeriannya menerima cadangan rasmi daripada AirAsia untuk sokongan.

Mengenai isu kesesakan di Lapangan Terbang Tawau, beliau berkata sudah diberi taklimat oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengenai Rancangan Pemodenan dan Pengoptimuman Lapangan Terbang pada 2018 dan 2023.

“Tahun lalu, saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja naik taraf akan bermula tahun ini tetapi saya masih belum melihat sebarang perkembangan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Graduan diminta kembali sumbang bakti kepada masyarakat – Ellron

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular