HomeUtamaLapangan Terbang Tawau bakal lebih luas, dilengkapi pendingin hawa

Lapangan Terbang Tawau bakal lebih luas, dilengkapi pendingin hawa

Read Time:1 Minute, 55 Second

BERNAMA

Tawau : Bangunan Lapangan Terbang Tawau di sini akan dinaik taraf menjadi lebih luas serta dilengkapi pendingin hawa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kerajaan sudah menyenarai pendek 16 kontraktor untuk dinilai serta proses lantikan kontraktor utama dijangka dimuktamadkan awal tahun depan.

Loke berkata pihaknya mengambil maklum isu kesesakan lapangan terbang itu susulan peningkatan kemasukan pelancong memandangkan Tawau merupakan pintu masuk ke destinasi pelancongan seperti Semporna. 

“Kapasiti Lapangan Terbang Tawau ini asalnya 1.5 juta penumpang setahun dan purata waktu puncak satu jam ialah 400 penumpang sahaja, tetapi ketika ini melebihi kapasiti. Tahun 2023 direkodkan kemasukan 1.71 juta penumpang dan tahun ini pertumbuhan penumpang dijangka lebih baik, kerana terdapat banyak penerbangan terus masuk daripada China.

“Pergerakan kargo juga meningkat 13,000 metrik tan kargo pada tahun lalu berbanding hanya 4,000 metrik tan dikendalikan di Lapangan Terbang Tawau pada 2019, kargo ini kebanyakan produk segar seperti makanan laut. Kita melihat potensi cukup besar sebab itu kerajaan bersetuju untuk menaik taraf,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lapangan terbang berkenaan hari ini.

Loke berkata kos naik taraf dianggarkan bernilai RM130 juta serta berharap projek itu dapat dimulakan awal tahun hadapan dan siap dalam tempoh tiga tahun.

“Memang saya lihat bahawa bangunan terminal sekarang ini usang dan keadaan tidak begitu baik, selain pelbagai kemudahan perlu ditambah baik demi meningkatkan imej Tawau.

“Keluasan lantai (terminal) akan ditingkatkan daripada 15,800 meter persegi menjadi 23,500 meter persegi, kaunter daftar masuk akan ditambah daripada 12 menjadi 20 kaunter dan paling penting terminal ini akan dilengkapi penuh pendingin hawa,” katanya.

Menurutnya projek naik taraf itu akan meningkatkan kapasiti tampungan daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta penumpang setahun dan kawasan lapangan terbang diperluas hampir 50 peratus, selain mengindahkan landskap dalaman bangunan.

Di samping itu, beliau turut mengarahkan Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) memasang penyejuk udara di kawasan tumpuan penumpang menunggu termasuk kawasan daftar masuk, sementara projek naik taraf siap. 

“Selain itu aspek papan tanda di kawasan lapangan terbang termasuk penggunaan bahasa seperti Mandarin dan Arab juga perlu ditambah baik, saya juga mengarahkan MAHB menempatkan kakitangan fasih bahasa asing seperti Mandarin dan bertindak sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan bagi membantu pelancong,” katanya.

Loke menambah pembangunan lapangan terbang itu membolehkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Sabah sekali gus memberikan tempias besar kepada ekonomi penduduk dan negeri.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji dianugerahkan Felo Kehormat AFEO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular