HomeEkonomiInisiatif Berterusan Kwsp Bak “Sinar Sebelum Malap”

Inisiatif Berterusan Kwsp Bak “Sinar Sebelum Malap”

Read Time:4 Minute, 16 Second

KUALA LUMPUR — Bercakap tentang kos sara hidup – secara realitinya, hari ini tidak lagi sama dengan apa yang kita lalui pada 10, 20 tahun yang lalu.

Kita bukan lagi di zaman beli kuih dua ketul dengan harga RM1, atau anak-anak yang bawa RM5 ke sekolah untuk berbelanja pada waktu rehat dari kalangan keluarga yang mewah.

Apatah lagi RM50 untuk bertahan selama satu minggu hari bekerja, dari isi petrol untuk kenderaan, makan minum dan belanja dapur, belum lagi hal-hal di luar kawalan.

Hari ini, mahu tidak mahu, keadaan sudah berubah. Ekonomi dunia menyaksikan tranformasi, nilai mata wang sentiasa wujud naik turunnya, soal politik dan kuasa serta pengaruh saling berkaitan.

Selaku negara kecil, Malaysia pastinya menerima kesan daripada pergolakan ekonomi semasa global berikutan ciri ekonomi negara yang terbuka dan bergantung kepada perdagangan.

Sehubungan itu, Kerangka Ekonomi Madani yang bertindak sebagai daya tahan ekonomi telah meletakkan Malaysia di landasan pertumbuhan yang stabil, sekaligus menjadi penyambung kepada struktur ekonomi negara yang pelbagai serta asas kukuh yang dibina selama ini.

“Faktor-faktor positif ini yang disokong oleh dasar dan pelan tindakan kukuh bertunjangkan kerangka Ekonomi Madani serta pelaksanaan berterusan langkah-langkah dan inisiatif pragmatik ditetapkan oleh kerajaan, akan memastikan ekonomi kita kukuh dan berdaya tahan.

“Walaupun sektor luaran kekal penting, pertumbuhan kini semakin didorong oleh permintaan domestik,” demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak keterlaluan untuk Kerajaan Madani pimpinan Anwar dipuji apabila tampil dengan pelbagai inisiatif segar dalam membantu dan meringankan beban rakyat.

Kehidupan pasca Covid-19 diakui semakin mencabar, dengan itu kerajaan meneruskan dan menambah baik pelbagai segi bantuan dan inisiatif oleh kerajaan terdahulu.

Tumpuan kepada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibangkitkan rakyat demi kelangsungan hidup masing-masing.

Meskipun simpanan KWSP adalah untuk perbelanjaan persaraan, namun Kerajaan mengambil maklum keperluan mengimbangi keperluan hari kemudian dengan perancangan kewangan pada hari ini lebih-lebih lagi untuk pekerja gig dan sektor tidak formal

INFOGRAFIK AKAUN FLEKSIBEL KWSP


AKAUN FLEKSIBEL KWSP

Terbaru kerajaan meluluskan Akaun Fleksibel KWSP yang memberi kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabungan dalam kadar tertentu bagi tujuan perbelanjaan kecemasan atau saat-saat diperlukan.

Memetik laporan, sehingga 19 Julai lalu, seramai 3.4 juta daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah usia 55 tahun, membuat pengeluaran Akaun Fleksibel berjumlah RM8.9 bilion.

Dalam tempoh sama juga, sejumlah 29.3 peratus atau 3.8 juta ahli KWSP memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) dengan pemindahan berjumlah RM12.6 bilion, manakala RM5.6 bilion dipindahkan ke Akaun Persaraan.

“Memandangkan komitmen semakin bertambah, gaji bulanan adakalanya hanya ‘cukup-cukup makan’, agak sukar untuk menyimpan dalam jumlah yang besar.

“Saya ada perancangan untuk mulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Jadi saya fikir hendak gunakan sejumlah wang dari Akaun Fleksibel itu nanti sebagai modal awal,” kata Mohd Yusof, 37 tahun.

Beliau yang masih kerja makan gaji itu amat menghargai keprihatinan Kerajaan Madani melonggarkan syarat kepada pencarum berhubung wang caruman mereka.

Sebagaimana tujuannya, penstrukturan semula akaun KWSP ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak.

Bagi pekerja swasta, Intan Munirah Rosli, 36, berpandangan inisiatif Kerajaan Madani ini amat baik, namun tetap mengambil langkah berwaspada agar tidak disalah guna.

“Kadang-kadang kita tak tahu apa akan terjadi di masa hadapan. Dalam situasi getir hari ini, akses kepada Akaun Fleksibel amat membantu kami.

“Saya buat keputusan untuk peruntukkan sejumlah amaun di dalam Akaun Fleksibel untuk hal kecemasan, yang mungkin di waktu terdesak jika wang bulanan dari gaji saya tak mencukupi,” ujarnya.

Hal yang sama juga disokong oleh Shahir Omar, 34, yang memutuskan melangsaikan baki hutang komitmen bulanan menerusi pengeluaran Akaun Fleksibel.

“Insentif kerajaaan membenarkan pengeluaran Akaun Fleksibel membantu saya untuk menyelesaikan baki-baki hutang yang lain.

“Seperti contoh, hutang yang masih berbaki lima ke enam tahun akan datang dapat diselesaikan terus.

“Sementara duit untuk membayar bulanan hutang dapat disimpan atau digunakan pada hal-hal yang lain.

“Komitmen bulanan kini menjadi ringan sebab dapat menyelesaikan komitmen yang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun perlu juga diingatkan saranan KWSP terhadap pencarum untuk mempunyai kuantum simpanan asas sebanyak RM240,000 ketika mencapai umur 55 tahun.

Angka itu dikira sebagai jumlah simpanan minimum yang diperlukan untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun sehingga mencapai usia 75 tahun selaras dengan jangkaan jangka hayat rakyat Malaysia.

Sehubungan itu adalah penting untuk turut sama mengingatkan pencarum agar tidak menyalah gunakan kelonggaran pengeluaran Akaun Fleksibel sehingga mungkin memberi kesan jangka masa panjang.

Di kala sebilangan besar pencarum memilih pengeluaran untuk Akaun Fleksibel, sebenarnya masih ramai lagi yang mengambil sikap waspada dan enggan berfikiran ‘terlalu berduit’ dalam soal wang caruman.

“Memandangkan saya pernah membuat beberapa kali pengeluaran Akaun Dua (Sejahtera) bagi tujuan bayaran yuran pendidikan dan pinjaman perumahan, kini saya sedang memulakan kembali simpanan Akaun Dua.

“Jadi memang tidak ada pindahan kepada Akaun Fleksibel,” demikian menurut Nurul Nabilah Shukri.

Tidak semua dalam kalangan kita bernasib baik. Jadi dengan sedikit kelonggaran dan keprihatinan Kerajaan Madani ini, sekurang-kurangnya dapat memberi sinar kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk merancang hala tuju kewangan mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular