HomeUtamaCadangan penduduk Kg Sembulan akan dibawa ke Kabinet Negeri - Dr Sabin

Cadangan penduduk Kg Sembulan akan dibawa ke Kabinet Negeri – Dr Sabin

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitha amat prihatin dan mendengar luahan serta cadangan yang dikemukakan oleh penduduk terlibat dalam isu Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan.

Sehubungan dengan itu, satu Sesi Libat Urus bersama Pemilik Berdaftar dalam Kawasan Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Sesi libat urus tersebut antara DBKK, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga wakil ahli-ahli politik serta penduduk Kampung Sembulan terlibat.

Dr Sabin (dua kiri) mendengar luahan penduduk Kg Sembulan yang terlibat semasa Sesi Libat Urus di SICC hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sabin mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kg Sembulan kerana mereka telah meluangkan masa mereka untuk datang ke sesi libat urus tersebut.

Menurutnya, pada sesi itu pihak JTU juga telah memberikan penerangan dari segi undang-undang berkenaan dengan isu tanah-tanah yang telah luput tempoh pajakan dan juga tanah-tanah yang masih lagi ada tempoh pajakan dan juga kaedah-kaedah pengambilan tanah oleh kerajaan apabila kerajaan berhasrat untuk membangunkan sesuatu kawasan.

“Jadi projek Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan ini bukan satu projek yang baru sebenarnya, ia sudah lama, boleh tengok nantilah daripada kertas kerja yang disediakan oleh pengarah Jabatan Undang-Undang.

“Saya telah mendengar ke semua permintaan daripada penduduk Sembulan sama ada pajakan yang luput ataupun tidak luput.

“Pada hari ini cadangan-cadangan dan permohonan mereka itu akan kami bawa kepada Kabinet Negeri dalam masa terdekat dan sebagai makluman juga ada di antara lot-lot ini sama ada yang masih aktif ataupun telah luput,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus itu.

Selain itu, Dr Sabin turut berbangga dengan penduduk yang menyokong tindakan pihak DBKK merobohkan struktur rumah haram yang dibina di kawasan tersebut.

“Satu perkara yang amat membanggakan, mereka (penduduk Kg Sembulan) juga bersetuju dengan tindakan DBKK untuk meneruskan tindakan merobohkan struktur rumah haram yang dibina di kawasan tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan seramai 105 pemilik tanah di Kampung Sembulan Tengah yang terlibat dalam skim tersebut telah diberi notis pengusiran dan perobohan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Jabatan Tanah dan Ukur selama 14 hari mulai 19 September 2024.

Sementara itu, penduduk Kg Sembulan memang bersetuju untuk kawasan ini dibangunkan oleh kerajaan namun mereka memerlukan beberapa perkara untuk dipertimbangkan sebelum mereka berpindah dari kawasan tersebut.

“Kita sangat mengalu-alukan pembangunan, cuma kita mahu Sembulan berwajah baru tapi yang paling penting, hak pemilik tanah itu perlu diberi perhatian, diberi keutamaan,” tegas Pengerusi Pertubuhan Penduduk dan Kebajikan Kg Sembulan, Osman Omar Khan.

Dalam pada itu, Osman bagi pihak penduduk terlibat turut merayu kepada pihak kerajaan agar notis untuk pengusiran dan perobohan rumah mereka yang berkuat kuasa pada 11 November ini ditangguhkan.

“Datuk Mayor berjanji bahawa beliau akan bertemu dengan Ketua Menteri untuk memperhalusi perkara ini dan akan kembalikan jawapannya kepada kita.

“Jadi kita juga ada tekankan bahawa 11 November itu, supaya diberi perhatian dulu dan jangan tergesa-gesa untuk merobohkannya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Seks Luar Tabii: Tiga individu lelaki dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun,...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular