HomeSukanHSN platform terapkan budaya sukan, riadah masyarakat

HSN platform terapkan budaya sukan, riadah masyarakat

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan Hari Sukan Negara (HSN) merupakan satu platform terbaik bagi menerapkan budaya bersukan dan riadah dalam kalangan masyarakat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, HSN turut menjadi wadah kepada perpaduan rakyat dan mengetengahkan konsep Malaysia Madani Sukan Baharu dan sukan rakyat untuk penyatuan kesejahteraan.

“Melihat ramai yang hadir pada hari ini khususnya warga Keningau dan daerah sekitarnya menunjukkan komitmen dan semangat tinggi rakyat sabah untuk memeriahkan HSN 2024.

“Ini menunjukkan bahawa masyarakat Sabah sentiasa sedar bahawa bersukan satu amalan gaya hidup yang sihat. Saya menyeru kepada semua rakyat di negeri ini dapat menggunakan kemudahan sukan yang sedia ada untuk memastikan kecergasan tubuh dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Sambutan HSN 2024 Peringkat Negeri Sabah di Padang Hoki Kompleks Sukan Keningau, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Hajiji berkata, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan agar rakyat di negara ini perlu mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah penduduknya aktif dalam sukan, riadah dan kecergasan menjelang tahun 2030.

Beliau percaya matlamat itu dapat dicapai dengan adanya sokongan menyeluruh daripada masyarakat, sektor awam, swasta, persatuan sukan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM27.13 juta dalam mengurus dan membangunkan industri sukan negeri Sabah.

“Sabah mempunyai visi untuk melahirkan atlet bertaraf dunia dengan berlandaskan tiga teras utama iaitu Sukan Prestasi Tinggi, Industri Sukan dan Sukan Massa.

“Seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai atlet yang bertaraf dunia, saya mahu Kementerian Belia dan Sukan terus membangunkan sukan di negeri ini sekaligus melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

HSN 2024 dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada hari ini dan daerah Keningau menjadi tuan rumah acara tahunan peringkat negeri Sabah.

Acara itu turut diadakan di lima daerah lain iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort.

RELATED ARTICLES
Sukan

PIBKS sokong usaha PIBG laksana aktiviti sukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular