HomeUtamaCubaan seludup pelbagai komoditi bernilai RM30.4 juta tumpas - JKDM

Cubaan seludup pelbagai komoditi bernilai RM30.4 juta tumpas – JKDM

Read Time:4 Minute, 20 Second

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan aktiviti cubaan menyeludup pelbagai komoditi termasuk kontraban berjumlah RM30.4 juta dalam pemeriksaan dan sitaan ke atas beberapa kontena di Pelabuhan Utara dan Barat, di sini, dua bulan lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, rampasan itu merupakan kejayaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor dalam usaha menumpaskan aktiviti penyeludupan melalui pintu negara.

Katanya, antara sitaan pelbagai komoditi termasuk kenderaan import, minuman keras, sekerap logam, bahan buangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste), alkohol etil tidak didenaturasi (96 peratus), rokok putih serta rokok kretek.

“Sebanyak enam kenderaan import terpakai pelbagai jenis bernilai RM794,000 termasuk duti dan cukai dirampas hasil penemuan pihaknya dalam tiga kontena bersaiz 40 kaki, masing-masing satu di Pelabuhan Utara dan dua di Pelabuhan Barat, di sini, 22 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam kontena-kontena tersebut mengandungi enam kenderaan import dipercayai tidak mempunyai permit import.

“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 17 Julai 2024 dan berasal dari negara di Asia Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, JKDM turut menyita 79,104 liter minuman keras bernilai RM3.11 juta termasuk duti dan cukai yang ditemukan dalam lima kontena, masing-masing satu di Pelabuhan Utara dan empat di Pelabuhan Barat, di sini, 26 September lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas lima kontena tersebut, didapati mengandungi 79,104 liter minuman keras, dipercayai tidak mempunyai permit import.

“Siasatan awal mendapati kesemua kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 1 September dan dagangan berasal dari sebuah negara di Asia Timur.

“Pengimport telah membuat pengikraran sebagai rim keluli lori bagi mengelak dikenakan duti dan cukai yang tinggi serta keperluan permit import bagi pengimportan minuman keras,” katanya.

Menurut Anis Rizana, JKDM juga berjaya merampas 44 kontena yang bermuatan 1,098.19 tan sekerap logam bernilai RM13.2 juta di Pelabuhan Barat, di sini, 5 September lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut didapati mengandungi 1,098,187 kilogram sekerap logam, dipercayai tidak mempunyai permit import.

“Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 13 Ogos dan dagangan berasal dari sebuah negara di benua Amerika.

“Pengimport telah membuat pengikraran tidak benar di dalam dokumen manifes import sebagai sebagai aloi aluminium, serpihan aluminium dan serpihan tembaga untuk mengelak keperluan permit import bagi tujuan pengimportannya,” katanya.

Pihaknya turut menahan 107 kontena yang bermuatan 2,118.91 tan e-waste yang bernilai RM5.59 juta dengan ketirisan hasil sebanyak RM558,579.18 menerusi Op e-Waste di Unit Mesin Pengimbas Pelabuhan Barat, di sini, 17 Ogos sehingga 4 Oktober lalu.

“Kontena-kontena tersebut telah diperiksa bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan didapati mengandungi 2,118,906.10 kilogram e-Waste, dipercayai tidak mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

“Pengimport telah membuat pengikraran tidak benar sebagai aloi aluminium, serpihan aluminium, bahan aluminium dan serpihan tembaga,” katanya.

Selain itu, katanya, JKDM merampas 412 tong drum disyaki mengandungi cecair alkohol etil tidak didenaturasi (96 peratus) berjumlah 67,980 liter bernilai RM7.11 juta ditemui di sebuah gudang di sini, 27 September lalu.

“Siasatan awal mendapati kesemua barang kes berasal dari sebuah negara di Asia Selatan dan telah diseludup masuk ke Malaysia melalui Pelabuhan Barat untuk kegunaan penghasilan minuman keras.

“Nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM429,565 dan jumlah duti & cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM6,682,334.41.

“Pengimport mengikrarkan dagangan itu sebagai pembersih tangan asas alkohol di dalam Manifes serta Borang Kastam 1 bagi mengelakkan dikesan oleh JKDM,” katanya.

Sementara itu, pihaknya menyita 6,800 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang diletakkan dalam kenderaan motokar di kawasan kedai di Taman Subang Mas, Petaling Jaya, Selangor, 23 September lalu.

“Rampasan itu hasil daripada pemberi maklumat berdaftar Kastam. Ketika intipan, sebuah kenderaan ditahan di kawasan parkir.

“Kenderaan dan dagangan telah di bawa balik ke Pejabat Pangkalan Marin Kastam untuk siasatan lanjut.

“Nilai dagangan dan kenderaan disita dianggarkan sebanyak RM30,592 membabitkan 6,800 batang rokok. Jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM4,547.20.

“Pihak sindiket menggunakan orang tengah untuk menghantar barang larangan / tak berkastam ke kedai runcit yang kemudiannya dijual ke pasaran,” katanya.

Sementara itu, bagi rampasan terakhir pula melibatkan 11,600 batang rokok dan 66.96 liter minuman keras hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas dua premis berasingan yang dijadikan sebagai kilang beroperasi tanpa kebenaran di Kampung Sungai Terap dan Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang, 25 September lalu.

“Nilai rokok dan minuman keras dianggarkan sebanyak RM2,074.80 manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM10,355.67.

“Pemilik dan pekerja di premis kilang beroperasi tanpa lesen menjadikan premis tersebut sebagai stor dan tempat penyimpanan barang larangan atau tak berkastam,” katanya.

Katanya lagi, kesemua kesalahan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.

“Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar

“Atau tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Antara 5 Negeri Terima Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular