HomeUtamaProf Dr Justin terima dua pengiktirafan MBOR

Prof Dr Justin terima dua pengiktirafan MBOR

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu : Pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr. Justin Sentian berjaya menerima dua pengiktirafan ‘The Malaysia Book Of Records’ (MBOR) di sini semalam.

Anak kelahiran Ranau itu menerima pengiktirafan MBOR apabila menjadi individu yang pertama menjalankan penyelidikan musim sejuk di Benua Antartika dan pemastautin penyelidikan paling lama Di Benua Antartika

Pengiktirafan itu adalah bersempena ekspedisi penyelidikan musim sejuk Antartika 2023.

Dr. Justin telah melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama menjalankan ekspedisi penyelidikan semasa musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan antara 21 Mac hingga 21 Oktober 2023 sekaligus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling lama berada di benua paling sejuk dunia itu. 

Sepanjang di Antartika, Dr. Justin telah tinggal dan melakukan kajian di stesen Profesor Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika.

Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk Antartika yang pertama kali diadakan ini dianjurkan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Institut Penyelidikan Antartika Chile (Instituto Antártico Chileno, INACH) dan Kedutaan Chile di Malaysia.

Dr. Justin telah menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’. 

Sepanjang di sana, beliau telah memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika. 

Beliau juga berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halocarbon seperti bromokarbon dan sebagainya.

Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapi terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem. 

Ada ketika suhu udara mencapai – 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah kelajuan 120 km/jam.

Hasil kajian ini diharap akan dapat dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk. 

Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika.

Pengiktirafan ini diberikan secara rasmi dalam satu majlis yang diadakan di UMS yang disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang mewakili Ketua Menteri Sabah,  Datuk Seri Hajiji  Noor. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM Sabah tahan pasangan suami isteri bekas CEO & pengarah syarikat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular