HomePendapatMalaysia: STEM Masih Terpinggir

Malaysia: STEM Masih Terpinggir

Read Time:4 Minute, 58 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

BARU-BARU ini, pelajar-pelajar baru Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara di laporkan telah mendaftar untuk Sesi Kemasukan 2024/ 2025.

Banyak kisah dan ragam telah di kongsikan oleh pelbagai pihak di media sosial. Ada yang baik. Ada yang menyedihkan. Ada juga yang menjengkelkan.

Pada Jun 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) telah mengumumkan bahawa hampir 160,000 pelajar telah di beri tawaran kemasukan ke IPT di seluruh negara.

Majoriti pelajar (83,667 orang: 52.6%) di beri tawaran kemasukan ke Universiti Awam. Manakala selebihnya pula telah diberi tawaran kemasukan ke Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Antara perkara yang menarik ialah jurusan pengajian yang di pilih oleh calon pelajar. Menurut laporan BERNAMA, jurusan pengajian yang paling popular dimohon oleh calon untuk kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti Sesi 2024/ 2025 adalah:

 Politeknik: Diploma Pengajian Perniagaan

 Kolej Komuniti: Sijil Kulinari

Laporan berkenaan jelas menunjukkan ramai calon pelajar masih memilih untuk memohon jurusan pengajian yang tidak berkaitan dengan bidang Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM).

Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Jurusan pengajian STEM masih tidak begitu popular di kalangan pelajar berbanding dengan lain-lain jurusan. Sehinggakan ada IPT yang terpaksa menghentikan pelaksanaan sesetengah jurusan pengajian STEM.

Pada Jun 2024, media ada melaporkan bahawa Lembaga Jurutera Malaysia telah mengumumkan bahawa enam program kejuruteraan di enam Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tidak lagi di akreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) Malaysia.

Tindakan ini di ambil susulan IPTS terbabit telah beransur-ansur membekukan dan menamatkan pengambilan pelajar bagi program kejuruteraan berkenaan. Antara lain, punca utama adalah kerana jumlah kemasukan pelajar yang rendah di IPTS terbabit.

Program kejuruteraan berkenaan adalah: Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi; Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia; Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda (Kepujian) Elektronik dan Penkomputeran dan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal.

Malangnya, ini bukanlah perkara baru. Beberapa tahun dahulu, media telah melaporkan bahawa 55 program kejuruteraan telah di gugurkan di 12 universiti awam dan swasta dalam negara.

Serupa juga, antara punca utama adalah tiada permintaan daripada pelajar.

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), terdapat kesukaran untuk mendapatkan pelajar mengikuti jurusan kejuruteraan di Institusi Pendidikan Tinggi. Antara punca utama ialah kekurangan pelajar di dalam bidang STEM di sekolah, di mana ramai pelajar sekolah tidak berminat dengan aliran Sains Tulen.

Tambahan lagi, syarat minimum kemasukan ke program kejuruteraan di IPT adalah lebih tinggi berbanding dengan lain-lain program. Sebagai contoh; untuk kemasukan ke program Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik, calon pelajar mestilah memiliki minimum gred kepujian bagi mata pelajaran SPM Matematik.

Sebaliknya, untuk program Diploma Pengurusan Perniagaan di Politeknik, calon pelajar hanya perlu memiliki gred lulus bagi mata pelajaran SPM Matematik.

Namun begitu, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan puluhan ribu pelajar memperolehi gred Gagal bagi mata pelajaran SPM Matematik setiap tahun. Dalam tempoh masa 7 tahun (2017 – 2023), lebih 550,000 pelajar telah gagal SPM Matematik.

Malah, untuk SPM Matematik 2023, majoriti pelajar (52.1%) telah tidak berjaya mencapai gred kepujian ke atas, dan hanya memperolehi gred D, E dan Gagal.

Ini adalah situasi yang amat membimbangkan.

Sebenarnya, kehilangan minat pelajar bagi aliran Sains sudah mencapai tahap yang agak kritikal. Menurut Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), bagi Sesi Persekolahan 2023/ 2024, hanya 62,250 (15%) pelajar daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga telah memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat.

Ini merupakan jumlah terendah di dalam sejarah dan jauh tersasar dari dasar 60% yang di tetapkan oleh kerajaan.

Fakta menarik: Pada tahun 1967, Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi telah menetapkan bahawa 60% pelajar sekolah harus mengikuti aliran Sains bagi memastikan negara memiliki tenaga kerja di dalam bidang Sains.

Ini bermakna isu berkenaan yang dihadapi oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mesti di tangani segera di peringkat sekolah, dengan dua matlamat utama:

 mengurangkan peratusan pelajar gagal mata pelajaran SPM Matematik dan Matematik Tambahan

 meningkatkan jumlah pelajar memilih aliran Sains/ STEM di sekolah

 meningkatkan jumlah pelajar memilih aliran Sains/ STEM di sekolah

Sekiranya isu ini terus berlanjutan, ianya sudah pasti akan merencatkan agenda pembangunan negara yang memerlukan ramai tenaga kerja lulusan STEM. Malah, menurut Perdana Menteri Malaysia, negara kini menghadapi kekurangan 30,000 jurutera. Angka ini boleh meningkat tinggi selagi tiada penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.

Di samping itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) di laporkan berkata bahawa industri elektrikal & elektronik (E&E) negara memerlukan seramai 50,000 jurutera. Tetapi, setakat ini Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan hanya mampu mengeluarkan seramai 5,000 graduan jurutera setiap tahun.

Oleh yang demikian, beliau telah mengesyorkan agar graduan jurutera warganegara asing yang menamatkan pengajian di IPT tempatan di benarkan untuk bekerja secara sementara di dalam negara, terutamanya di sektor teknologi tinggi.

Ini bukan sahaja akan dapat meredakan isu kekurangan jurutera, tetapi dapat juga memperkasa IPT tempatan.

Cadangan Menteri MITI tersebut wajar di pertimbangkan dan di laksanakan agar ekonomi negara dapat berkembang seperti yang di rancang. Amat malang sekali apabila negara telah berjaya menarik pelaburan berjumlah berbillion Ringgit, tetapi gagal untuk menyediakan tenaga kerja dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai. Lama-kelamaan pelabur pun boleh ‘lari’ ke negara lain.

Cadangan Menteri MITI tersebut bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ianya serupa dengan tawaran yang di sediakan oleh negara lain.

Sebagai contoh. Menurut laporan media, Taiwan memerlukan seramai 10,000 jurutera setiap tahun untuk memenuhi kehendak industri, terutamanya industri semi-konduktor. Di bawah program Cross International Academia yang di tawarkan, Taiwan sedia menerima jurutera dari Malaysia selepas menamatkan pengajian di Taiwan. Jurutera semi-konduktor di Taiwan boleh menerima gaji kompetitif sebanyak RM 120,000 setahun.

Tawaran sebegini bukan sahaja akan memburukkan lagi isu kekurangan jurutera yang di hadapi. Tetapi turut memburukkan lagi isu brain drain yang di hadapi oleh negara selama ini, di mana ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran telah ‘berhijrah’ ke luar negara untuk bekerja.

Justeru itu, Malaysia mesti bersedia untuk melaksanakan dasar yang dapat mendokong agenda pembangunan negara. Ini termasuklah di peringkat sekolah dan IPT negara.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

RELATED ARTICLES
Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah
Pendapat

Kesediaan kerajaan guna pakai pendekatan baru, bukti komitmen tinggi bantu rakyat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular