HomeUtamaBanyak perkara diusulkan KPDN dapat perhatian dalam Belanjawan Madani 2025 - Armizan

Banyak perkara diusulkan KPDN dapat perhatian dalam Belanjawan Madani 2025 – Armizan

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Banyak perkara yang diusulkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat perhatian dalam Belanjawan Madani 2025 yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara usul tersebut adalah seperti meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah, peruntukan menangani isu kenaikan kos sara hidup dan peruntukan untuk memperkasa penguatkuasaan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

“Kita di pihak KPDN amat gembira dan berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan dan juga Kementerian Kewangan kerana banyak perkara-perkara yang kita usulkan itu telah mendapat perhatian.

“Sebagaimana yang saya sebutkan dalam kenyataan akhbar sidang media di Sabah baru-baru ini. Kita mohon supaya peruntukan Jualan Rahmah juga ditingkatkan.

“Alhamdulillah peruntukan telah ditambah daripada RM200 juta kepada RM300 juta hanya untuk Program Jualan Rahmah.

“Jadi melalui peruntukan ini kita akan mengadakan sesi libat urus segera bagaimana kita dapat mengembangkan Program Jualan Rahmah ini untuk memastikan kumpulan sasar yang lebih luas dapat kita liputi dalam program ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah di perkarangan Stadium Likas di sini, hari ini..

Selain itu, Armizan berkata dalam belanjawan ini Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan telah meletakkan satu komponen RM700 juta lagi peruntukan untuk program-program yang terkait dengan aspek bagaimana dapat kita mengurangkan (mitigate) dan campur tangan (intervene) jika berlakunya sebarang isu kenaikan kos sara hidup khususnya yang berkaitan dengan harga barang dan perkhidmatan.

“Jadi ada peruntukan lain daripada jualan Rahmah sebanyak RM700 juta lagi juga diperuntukkan kepada aspek-aspek lain yang boleh kita merangka inisiatifnya sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga yang bersandarkan kepada indeks dan harga pengguna,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kerana program pengedaran barang perlu diteruskan dan bukan hanya diteruskan malah ditambah lagi dua zon baru satu di Sabah dan juga satu di Sarawak.

“Jadi jumlah sekarang ini peruntukan untuk program pengedaran barang perlu adalah sebanyak RM250 juta bermaksud tambahan RM25 juta,” ujarnya.

Beliau berkata peruntukan yang disalurkan untuk memperkasa penguatkuasaan juga merupakan perkara paling penting, ini adalah untuk memastikan supaya subsidi sampai kepada golongan sasar.

“Paling penting juga KPDN ini, kita melihat merupakan satu kementerian penguatkuasaan dan sebagaimana yang telah diumumkan bahawa satu aspek dari segi memperkasa penguatkuasaan tersebut peruntukan disalurkan sebanyak RM60 juta kepada KPDN dan juga kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia untuk memperkasakan aspek penguatkuasaan kita.

“Selain daripada Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang juga sebagaimana yang tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM27 juta.

“Jadi kita dapat melihat bahawa kerajaan memberikan penegasan dan kerajaan memberikan penumpuan kepada aspek penguatkuasaan tersebut kerana sebagaimana Perdana Menteri sebut subsidi akan terus disalurkan.

“Namun penting untuk kita memastikan melalui pemantauan dan penguatkuasaan supaya subsidi itu akan dapat sampai kepada golongan sasar,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah dicadang turut laksana Kampung Angkat Madani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular