HomeUtamaTiga organisasi jalin kerjasama strategik tingkatkan kesedaran & tindakan berkait talasemia

Tiga organisasi jalin kerjasama strategik tingkatkan kesedaran & tindakan berkait talasemia

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Dalam usaha mengurangkan bilangan pesakit Talasemia di Sabah, tiga organisasi telah menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) bagi membangunkan program yang akan membawa pada kesedaran awam dan tindakan positif berkait penyakit tersebut.

Kerjasama ini akan merangkumi perkongsian kepakaran dalam bidang perubahan sosial dan tingkahlaku dalam kalangan komuniti di daerah yang dikenalpasti, pemantauan dan penilaian aktiviti, penyelidikan dan sokongan pentadbiran.

Tiga rakan kongsi bagi kerjasama selama setahun ini ialah Unit Penyelidikan Komunikasi Untuk Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dan Persatuan Talasemia Sabah.

Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF diwakili Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Prof. Dr. Asmady Idris, manakala MPMS diwakili oleh Pengerusi Pengurusan Jais Asri yang juga Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Persatuan Talasemia Sabah diwakili oleh presidennya Francis Mujim.

Berucap di majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Asmady mengalu-alukan kerjasama strategik tersebut kerana ia akan membolehkan program berkait penurunan pesakit Talasemia dijalankan dengan lebih sistematik.

“Universiti juga ingin melihat lebih ramai penyelidik menjalinkan aktiviti dengan komuniti, seperti ditekankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Kita perlu berada di lapangan untuk berkerja dengan komuniti dan industri, dan kerjasama ini selaras dengan hasrat tersebut.

“Terdapat juga peluang untuk menerbitkan hasil dapatan kajian dan program dari kerjasama ini di jurnal, atau dalam bentuk buku, seterusnya menjadi bahan rujukan yang bernilai,” katanya.

Pelan Strategik UMS 2023-2027 menekankan keperluan untuk penyelidikan, selain jaringan dengan industri dan komuniti.

Kerjasama ini juga selaras dengan aspek kedua dalam Pelan Transformasi UMS 2050 iaitu inovasi masyarakat.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF Dr. Latif Lai berkata persetujuan ketiga-tiga pihak untuk menandatangani Surat Niat tersebut adalah hasil daripada beberapa siri latihan dalam bidang perubahan sosial dan tingkahlaku yang diadakan bagi organisasi yang bernaung di bawah MPMS.

“Beberapa NGO di bawah MPMS telah menyediakan pelan tindakan masing-masing hasil latihan daripada Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF. Pihak kami telah bersetuju untuk menyokong Persatuan Talasemia Sabah dalam usahanya mengurangkan bilangan pesakit Talasemia di negeri Sabah.

“Kami memandang positif kerjasama ini, terutamanya dalam aspek penyelidikan. Pihak kami komited untuk melihat hasil penyelidikan dikongsi dengan semua organisasi yang terlibat,” katanya.

Turut hadir Pakar Program UNICEF untuk negeri Sabah Dr. Elaine Kong dan Setiausaha Eksekutif MPMS Joeanne Lee.

RELATED ARTICLES
Utama

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular