Kota Belud: Sabah komited dalam menyokong usaha bagi memartabatkan budaya dan warisan negeri terutama melibatkan golongan belia.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, generasi muda perlu diberi peluang untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan kebudayaan agar kesinambungan budaya terjamin.
“Seiring dengan matlamat hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan berhasrat memastikan seni budaya termasuk seni tari diberi perhatian sewajarnya sebagai salah satu aset penting negeri ini melalui acara seperti Festival Tari Tempasuk ini.
“Disamping kita mempromosikan sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik sekaligus membantu menjana ekonomi tempatan festival tersebut turut memberi ruang terutamanya anak-anak muda menghargai kekayaan seni tari yang menjadi sebahagian daripada identiti dan tradisi negeri ini dan Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Tari Tempasuk 2024 di Dewan Al-Arsad Tempasuk di sini semalam.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, seni tari merupakan salah satu medium penting dalam menyampaikan cerita, sejarah dan nilai-nilai murni masyarakat.
“Melalui setiap pergerakan yang penuh makna dapat mengekalkan warisan nenek moyang serta memperkukuhkan jati diri sebagai masyarakat kaya dengan budaya.
“Saya berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh komuniti Tempasuk dalam menganjurkan festival membabitkan pelbagai kumpulan tradisional dari seluruh negara membuktikan semangat perpaduan dan cinta akan budaya masih subur dalam jiwa.
“Sebagai rakyat malaysia khususnya di negeri ini yang meraikan kepelbagaian agama dan budaya perlu,semua ini perlu dipertahankan, kebersamaan kita merupakan tiang perpaduan yang menjadi kekuatan kepada kesejahteraan negara,” katanya.
Semenetara itu, ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menjelaskan bersempena sambutan Tamu Besar 2024 ini pelbagai aturcara telah disusun semula bermula 25 Oktober sehingga kemuncaknya pada 2 November depan.
“Festival Tari Tempasuk peringkat kebangsaan yang diadakan tersebut merupakan salah satu acara pertama yang membuka tirai sambutan Tamu Besar Kota Belud tahun ini.
“Seiring dengan matlamat penganjuran Tamu Besar memberi limpahan ekonomi dan memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana menjana ekonomi selain memberi impak kepada usahawan dari Kota Belud memperkenalkan produk yang dihasilkan kepada masyarakat luar termasuklah pengusaha homestay tempatan,” katanya.
Pada Festival tersebut, sebanyak lapan kumpulan menyertai pertandingan Akhir Kategori Terbuka Tarian Etnik Kreatif dan Tarian Rakyat Kreatif Malaysia yang telah dimenangi oleh kumpulan SSMJ Andani (Johor) dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000, sijil dan medal.
Pemenang naib juara pula disandang oleh Tukang-Tukang yang mewakili Sabah dan kumpulan SSMJ Askara Juita (Johor) meraih empat ketiga yang masing-masing membawa wang tunai RM10,000, sijil dan medal serta RM8,000 berserta sijil dan medal, penyertaan pertandingan tersebut adalah daripada seluruh Malaysia.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Amal Kasih (PERKASIH), Datin Vinnie@Nursyahirah Abdullah, Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt. Sharudin Mat Husain dan Pengurus Besar Hikmat Management, Abdul Hikmat Mulia.