HomeUtamaMARDI aktif keluarkan benih bawang merah melalui dua fasa

MARDI aktif keluarkan benih bawang merah melalui dua fasa

Read Time:2 Minute, 9 Second

Ranau : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) secara aktif mengeluarkan benih bawang merah melalui dua fasa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, fasa itu merangkumi fasa pra-pengkomersialan bermula tahun ini sehingga 2025 dan fasa pengkomersialan bermula 2026 sehingga 2030.

Katanya, di peringkat fasa pra pengkomersialan, MARDI telah membangunkan 15 usahawan benih bawang merah di bawah Projek Khas Inisiatif MADANI dan Projek Keterjaminan Makanan.

Menurutnya ia adalah dalam rangka usaha MARDI menghasilkan benih bawang merah yang mencukupi bagi tujuan pengeluaran bawang merah secara komersial.

“Pada tahun ini, perluasan penanaman bawang telah diperluaskan ke beberapa negeri seperti Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan seterusnya di Sabah.

“Bagi tujuan peluasan kawasan, di Sabah khasnya, MARDI telah mengenalpasti beberapa usahawan tani untuk diberikan bimbingan teknikal bagi pengeluaran bawang merah.

“Antara usahawan tani yang telah memulakan tanaman benih bawang di Sabah ialah Shahrizal Denci yang merupakan pemilik kepada Syarikat D&H Plantation berpangkalan di Ranau yang merupakan salah seorang usahawan benih MARDI yang dipilih menjadi peserta projek Khas MADANI bagi Projek pengeluaran benih bawang merah seluas empat  hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke plot tanaman bawang petani dibawah Projek Khas MADANI di sini semalam.

Arthur berkata, sejak 2020, MARDI telah menjalankan kajian berkaitan bawang bagi memperkenalkan dan meningkatkan produktiviti pengeluaran  bawang  merah di dalam  negara.

Katanya, penyelidikan bawang merah ini melibatkan beberapa kajian utama iaitu pengadaptasi varieti dengan agroklimat negara, penanaman secara skala besar, kawalan serangan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai dan risikan pasaran dalam dan luar negara.  

“Hasil daripada kajian awal mendapati bahawa tiga varieti bawang iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 mempunyai potensi tinggi untuk ditanam di Malaysia.

“Projek penanaman yang bermula pada bulan Jun lalu dijangka mempunyai hasil sehingga 2.4 tan/ha. Bawang merah yang dikeluarkan oleh Shahrizal adalah dari varieti bawang merah MARDI, BAW-2.

“Pengeluaran bawang merah ini adalah melalui biji benih yang disemai di atas batas dan dalam tempoh 45 hari, anak benih yang matang terhasil dan dipindahkan ke ladang. Hasil yang diperolehi akan diperluaskan untuk kawasan penanaman persendirian oleh beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, di Sabah, MARDI telah mengenalpasti dua orang lagi petani yang akan diberikan bimbingan bagi pengeluaran bawang merah melalui projek perintis MARDI dengan hasil yang akan diperolehi sehingga satu hingga dua metrik tan setiap pengeluaran.

Katanya, ia dijangkakan lebih ramai petani di negeri ini akan terlibat dengan pengeluaran bawang merah bagi menampung permintaan Negara menjelang 2026. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua maut dalam nahas jalan raya di Jalan Lama Kg Purak,...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular