HomeUtamaKPT alu-alukan pelaksanaan PLKN 3.0

KPT alu-alukan pelaksanaan PLKN 3.0

Read Time:1 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)3.0 yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata KPT amat menyambut baik cadangan tersebut dan akan memastikan mahasiswa yang terpilih juga akan dilibatkan bersama.

“KPT bersedia untuk menyumbang tenaga dan kepakaran melalui pensyarah-pensyarah, motivator dan para kaunselor kita untuk bersama-sama menjayakan PLKN 3.0.

“Kita mahu supaya generasi muda dapat terarah pemikirannya, dan tidak terpengaruh hanya dengan info-info yang terdapat di media sosial terutama TikTok.

“Kadang-kadang kita tahu apapun maklumat yang berada di TikTok itu bukan semuanya benar, jadi kita mahu supaya generasi muda dapat diberikan pendedahan yang sebenarnya mengikut saluran rasmi agar mereka melihat bagaimana Kerajaan Madani ini memberi manfaat terutama dalam sudut pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Semarak Maulidur Rasul peringkat parlimen Sepanggar di Masjid Al-Munir, Kampung Darau di sini hari ini.

Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (Perkis) bersama Pejabat Parlimen Sepanggar itu turut disertai 500 peserta merangkumi tujuh kontinjen dari kawasan berhampiran.

“Objektifnya adalah untuk menyemarakkan syiar Islam di Sepanggar ini dan memastikan para belia terutamanya mendapat manfaat tentang sirah serta perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk mereka terapkan dalam kehidupan seharian.

“Insya-Allah program ini akan dibuat secara tahunan dan secara bergilir di peringkat/kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mungkin selepas ini kita akan ke DUN Karambunai,” katanya.

Pada majlis tersebut, Masjid Jamek Kampung Likas muncul juara berganda bagi kontinjen terbaik dan pertandingan sepanduk.

RELATED ARTICLES
Utama

Rumah Mesra SMJ inisiatif kerajaan bantu rakyat dapatkan kediaman selesa –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular