KOTA KINABALU : Pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan Sabah merupakan satu usaha bagi membantu rakyat memperoleh kediaman yang lebih selesa.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, pembinaan itu juga merupakan salah satu usaha kerajaan bagi membasmi miskin tegar.
Beliau berkata isu perumahan sememangnya merupakan satu isu yang menjadi perhatian umum.
“Pembinaan Rumah Mesra SMJ adalah salah satu inisiatif oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah perumahan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40”, katanya.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.
Japlin berkata demikian selepas penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ di Kampung (Kg) Pirasan dan beberapa buah kampung di Kg. Kulambai Dundau, Kg. Ambong, Kg. Lantiggi, Kg. Kulambai, Kg. Kulambai Kupang dan Kg. Kuala Abai, Kg. Kota Belud dan Kg. Suang Pungur, Kota Belud pada Ahad.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan peruntukan pembinaan Rumah Mesra SMJ melibatkan kos sebanyak RM250 juta untuk tahun hadapan.
Peruntukan tersebut digunakan untuk membina 3,000 buah rumah lagi melalui Program Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini