Beaufort: Sebanyak 137 beg darah berjaya dikutip pada Program Cakna Sihat dan Derma Darah Persatuan Hainan Beaufort (Youth Section) yang diadakan di gelanggang bola keranjang Tadika Kung Ming Beaufort di sini, baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan tersebut, Foo Ket Chu berkata, bekalan yang diterima itu berupaya membantu 411 nyawa berdasarkan satu beg darah yang mampu menyelamatkan tiga nyawa.
Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dari masyarakat daerah ini selain beberapa daerah lain termasuk Kuala Penyu dan Membakut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penderma yang telah menyokong usaha persatuan yang kali ini mengadakan program untuk kali kedua yang mana kali pertama pada Oktober tahun lalu.
“Selain program derma darah, turut diadakan ialah Program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) kepada pengunjung yan hadir dan ini adalah matlamat utama kita iaitu setiap orang cakna kepada keadaan kesihatan masing-masing,” katanya.
Persatuan ini turut mendapat kerjasama dari Tabung Darah, Hospital Beaufort, Hospital Kuala Penyu dan Hospital Papar dalam melaksanakan aktiviti derma darah dan turut mengundang mySalam pada program kali ini.
“Kutipan darah ini diharapkan dapat membantu pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di ketiga-tiga buah hospital ini, yang difahamkan juga untuk merawat pesakit-pesakit Thalasemia” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Klinikal Hospital Beaufort ,Dr Wan Mohd Syazwan Wan Mohd.Sabri, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort, Dr. Nur Diyanah Shukri, Pengerusi Skuad Ar-Rayyan Masjid Batu 60, Laiman Abdullah dan Pengerusi Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort, Koh Chen Shiung. – SABAH MEDIA