HomeSukanJetama serah hadiah RM30,000 kepada juara Pasukan Perahu Naga Jetama Entulon Family...

Jetama serah hadiah RM30,000 kepada juara Pasukan Perahu Naga Jetama Entulon Family Tuaran

Read Time:4 Minute, 4 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pasukan Perahu Naga, Jetama Entulon Family Tuaran mewakili negeri Sabah dinobatkan sebagai juara kategori DB20 Premier Open di Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Edisi ke-10 2024 di Kuching, baru-baru ini.

Atas kejayaan tersebut, penaja utama pihak Jetama Sdn Bhd menyerahkan hadiah wang tunai RM30,000 dalam satu majlis ringkas di sini, hari ini.

Yusof (duduk tengah) dan Ahmad Naim (kanan) bersama pasukan Jetama Entulon Family Tuaran dan pengurus pasukan semasa sidang media di sini, hari ini.

Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Mannan berkata, beliau berbangga dan menganggap ianya pencapaian yang luar biasa ditunjukkan oleh pasukan tersebut.

“Kita anggap satu pencapaian yang begitu luar biasa, apa yang kita harapkan inilah semangat akan dapat diteruskan dipupuk untuk mencapai yang lebih baik daripada yang sudah terbaik.

“Pada hari ini Alhamdulillah saudara-saudara telah menunjukkan satu semangat yang begitu tinggi di mana pencapaian ini adalah merupakan pencapaian bertaraf dunia ataupun bertaraf antarabangsa yang telah mengalahkan sebanyak 60 pasukan dari negara-negara lain yang menyertai perlumbaan perahu naga ini,” katanya pada sidang media semasa Majlis Penyerahan Wang Hadiah RM30,000 daripada Jetama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusof berharap susulan daripada pencapaian ini, kita akan dapat menyaksikan satu lagi pencapaian di masa akan datang.

“InsyaAllah kita menyahut seruan yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di mana beliau meminta Jetama untuk memberi sokongan kepada pasukan ini.

“Jadi mudah-mudahan pada masa yang akan datang InsyaAllah Jetama Akan terus memberikan semangat dan apa juga sokongan yang diperlukan oleh mana-mana pasukan yang telah menaikkan nama negeri Sabah di peringkat antarabangsa seperti mana yang telah pasukan (Jetama Entulon Family Tuaran) ini lakukan,” katanya

Yusof berkata, pencapaian ini bukan satu pencapaian yang biasa-biasa tetapi luar daripada biasa di mana anak-anak kampung yang kita fikir tidak dapat menyumbang pada hari ini tetapi kini telah menaikkan nama negeri dan negara.

“Justeru saya ucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada anak-anak yang telah berjuang begitu hebat sekali,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang berkata, Jetama sebagai sebuah anak syarikat di bawah Sabah Development Berhad di bawah kementerian Kewangan negeri Sabah selaku Government Link Company atau GLC akan terus menyokong usaha-usaha kesukaanan inisiatif-inisiatif sebegini yang boleh mengharumkan negeri Sabah.

Ini katanya, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, kami bagi pihak pengurusan GLC utama ingin menyatakan usaha dan inisiatif ini kita akan teruskan dan ini bukanlah inisiatif yang terakhir kita untuk menyokong negeri Sabah,” katanya.

Ahmad Naim juga turut mengalu-alukan mana-mana institusi di Sabah yang memerlukan tajaan, Jetama sentiasa terbuka.

“Kita terbuka pada mana-mana institusi samada sekolah, persatuan dan sebagainya.

“Pada tahun ini pun kita ada menaja sebuah sekolah SK Mutiara telah menjadi juara kategori Solo Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak, pertandingan tarian antarabangsa Dance World Cup (DWC), National Folk Dance, Prague, Republik Czech awal Julai tahun ini.

“Ini bukan sahaja dalam bidang kesukanan tetapi juga acara-acara lain pun asalkan Sabahan, sebagai GLC Sabah kita terpanggil untuk membantu Sabahan dan kita terbuka, tidak ada masalah,” ujar beliau lagi.

Jasri (tengah) diapit timbalan pengurus pasukan Ariffin Likin, 40,(kanan) dan Ketua Pasukan Masuari Mini, 31.

Bagi Pengurus Pasukan Entulon Family Tuaran, Jasri Mini, 35, berkata pasukannya mengucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan yang yang diberikan oleh pihak Jetama Sdn Bhd dan individu-individu yang telah turut sama memberikan sokongan kepada pasukannya.

“Kami berterima kasih dengan pihak Jetama kerana menberikan kepercayaan kepada pasukan kami dalam perlumbaan perahu naga kali ini, kami harap Jetama akan meneruskan kerjasama dengan pasukan-pasukan lain untuk mengharumkan nama negeri Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran perlumbaan itu, Jasri berkata bermula pada latihan selama tiga bulan di sungai Tuaran, kekangan masa dan cuaca sangat membimbangkan pasukannya.

“Kami berlatih selama tiga bulan sebelum bertanding, kami mnghadapi kekangan masa iaitu perlu membahagikan masa latihan dan bekerja, keadaan cuaca yang tidak mengizin menjadikan kami bimbang sebab masa tidak mencukupi untuk latihan.

“Syukur Alhamdulillah… berkat semangat berpasukan, kami semua bersatu lagipun kami semua adalah keluarga, sekampung, kami berjaya merangkul kejuaraan ini,” katanya.

Menurut Jasri, pasukannya terdiri daripada 20 orang termasuk ahli keluarga dan saudara mara mereka yang berumur antara 15 hingga 50 tahun.

Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Edisi ke-10 2024 itu menyaksikan penyertaan 2,066 pengayuh dari 21 negara melibatkan 61 pasukan, termasuk pegawai teknikal antarabangsa dan tempatan.

Kategori Terbuka Perdana DB20 menyaksikan pemenang tempat pertama, Jetama Entulon Family Tuaran dari Sabah, yang bertarung dengan Machong Dabu Dragonboat Club, yang dianggap sebagai pesaing paling sengit dalam pertandingan itu, diikuti oleh pesaing SPTB Negara Brunei Darussalam dan LANDAS A.

Dalam acara itu Pasukan Jetama Entulon Family Tuaran berjaya membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta sebuah trofi kemenangan.

Acara tersebut adalah bersempena dengan Regatta Sarawak 2024 yang bermula dari 26 Oktober hingga 3 November 2024.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular