HomeUtamaTamu besar tarikan pelancong, eratkan perpaduan rakyat

Tamu besar tarikan pelancong, eratkan perpaduan rakyat

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Belud : Tamu Besar Kota Belud bukan saja mampu menarik kehadiran pelancong malah turut mengangkat keindahan dan keunikan kepelbagaian budaya tempatan yang ada di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong dan membangunkan potensi setiap daerah di Sabah termasuk memajukan sosioekonomi, pelancongan dan kebudayaan masyarakatnya yang unik.

“Sudah pasti penganjuran tamu besar secara tahunan ini berperanan besar dalam menarik pelancong selain mempromosikan keindahan budaya tempatan.

“Tamu besar ini juga menjadi lambang perpaduan kerana tamu adalah medan pertemuan sosial rakyat berbilang kaum dan agama seperti masyarakat Bajau, Kadazandusun, Iranun dan Cina, yang terus kekal sehingga kini.

“Saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Tamu Besar Kota Belud 2024 di Padang Pekan Kota Belud, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Pelbagai pengisian telah disusun sempen Tamu Besar Kota Belud tahun ini, antaranya persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pameran dan jualan produk kraf, komuniti, serta tradisional.

Dalam pada itu,  Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited untuk memperhebat pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, khususnya dalam memperluas rangkaian promosi pelancongan dan mengembangkan jaringan laluan udara ke negeri ini.

Katanya, langkah ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti Sabah sebagai destinasi yang mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang paling menarik bagi pelancong domestik mahupun antarabangsa.

“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini dari Januari hingga Ogos adalah kira-kira 2.1 juta orang dengan pelancong antarabangsa seramai 867,231 manakala 1.2 juta adalah pelancong domestik.

“Ini menunjukkan potensi besar Sabah sebagai destinasi pelancongan, dan saya yakin dengan perancangan strategik yang telah diatur, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan.

“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya, dan alam semula jadi dengan lebih daripada 30 lokasi pelancongan yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Tamu Kota Belud merupakan salah satu tamu tertua di Sabah yang telah menjangkau lebih daripada 100 tahun usianya.

“Tamu Kota Belud bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga tempat pembuatan dan penjualan pelbagai produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan tradisi, kraftangan, parang, peralatan muzik, serta busana tradisi.

“Di sini, para pengunjung boleh mendapatkan barangan berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular