HomePendapatKerugian Pelaburan Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet: Kegusaran Rakyat dan Cabaran...

Kerugian Pelaburan Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet: Kegusaran Rakyat dan Cabaran kepada GLC

Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Ketika ini, isu kerugian besar pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam syarikat Fashion Valet (FV) menjadi perbincangan hangat di seluruh negara. Walaupun Kementerian Kewangan Malaysia telah memberikan jawapan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat, pelbagai pihak masih terus membicarakan isu ini, sehinggakan Menteri Komunikasi Malaysia turut menggesa Khazanah, PNB, dan FV untuk memberikan penjelasan.

Menurut Kementerian Kewangan, pada tahun 2018, Khazanah melabur RM 27 juta manakala PNB melabur RM 20 juta dalam FV. Namun, susulan tawaran pembelian oleh NXBT Partners pada penghujung tahun 2023, kedua-dua syarikat bersetuju menjual semua pegangan ekuiti dengan harga RM 3.1 juta, merekodkan kerugian RM 43.9 juta. Walaupun angka ini dikatakan kecil berbanding keseluruhan pendapatan tahunan mereka, rakyat berpendapat bahawa kerugian sebesar ini tetap perlu diberi perhatian serius.

Kerugian yang Mengusik Hati Rakyat

Pernyataan bahawa kerugian RM 43.9 juta adalah “amat kecil” menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Walaupun jumlah tersebut kecil berbanding keuntungan Khazanah (RM 5.9 bilion) dan PNB (RM 13 bilion) pada tahun 2023, amaun tersebut cukup besar untuk digunakan dalam pelbagai inisiatif. Sebagai perbandingan, Yayasan Hasanah telah membelanjakan RM 54 juta untuk 119 projek impak, seperti pendidikan dan pembangunan komuniti, pada tahun yang sama.

Kerugian ini seharusnya tidak dipandang remeh kerana ia boleh membiayai separuh daripada keseluruhan dana projek Yayasan Hasanah pada tahun 2023. Organisasi seperti Khazanah diwujudkan untuk memberikan pulangan kepada kerajaan yang boleh digunakan bagi pembangunan negara. Oleh itu, sebarang kerugian boleh menjejaskan agenda pembangunan nasional.

Kenyataan yang Tidak Memadai

Akhirnya, Khazanah, PNB, dan pengasas FV mengeluarkan kenyataan masing-masing. Khazanah melabur RM 27 juta untuk pegangan ekuiti sebanyak 9% dalam FV, dan PNB mengalami kerugian RM 18.7 juta daripada pelaburan RM 20 juta. Pengasas FV turut mengumumkan pengundurannya dari syarikat tersebut. Namun, kenyataan yang diberikan tidak menyeluruh dan meninggalkan banyak persoalan, terutama tentang bagaimana dana RM 43 juta itu digunakan oleh FV.

Peranan GLC: Menjana Pendapatan untuk Negara

Perkara ini turut mendapat perhatian daripada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang mengingatkan bahawa GLC ditubuhkan untuk menjana pendapatan bagi kerajaan, bukan sekadar memberi pekerjaan. Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sabah telah menetapkan syarat bahawa GLC harus membayar sekurang-kurangnya 10% daripada keuntungan sebagai dividen. Peringatan ini penting agar GLC di seluruh negara mematuhi tujuan asal penubuhannya.

Penurunan Dividen: Cabaran bagi GLC

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, jumlah dividen yang diterima oleh kerajaan daripada 18 syarikat dan 2 badan berkanun pada tahun 2023 menurun sebanyak RM 9.756 bilion berbanding tahun 2022. Sebagai contoh, PETRONAS mencatatkan penurunan dividen terbesar daripada RM 50 bilion kepada RM 40 bilion, diikuti Bank Negara Malaysia yang mencatatkan penurunan sebanyak RM 2.25 bilion.

Cabaran FELCRA dan UDA: Penyusunan Kewangan yang Kritikal

Kerajaan Malaysia juga telah menukar pinjaman kepada ekuiti dalam FELCRA dan UDA Holdings sebanyak RM 1.135 bilion akibat krisis kewangan yang dihadapi. Selain itu, pinjaman FELCRA disusun semula untuk tempoh lanjutan sehingga tahun 2055 bagi mengurangkan beban hutang yang tinggi. Langkah ini terpaksa diambil untuk menyelamatkan GLC terbabit, bertentangan dengan tujuan asal GLC iaitu menjana pendapatan.

Kesimpulannya, rakyat berhak untuk menuntut ketelusan daripada pihak yang terlibat dalam pelaburan FV ini. Semua pihak yang terlibat perlu memberi penjelasan yang menyeluruh untuk memperbaiki keyakinan rakyat terhadap pengurusan GLC. Seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, GLC perlu menunjukkan prestasi yang baik dan tidak seharusnya menjadi beban kepada kerajaan.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Agenda Membasmi Miskin Tegar Di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular