HomeUtamaLaksana tugas, tanggungjawab diamanahkan dengan komited - Shahelmey

Laksana tugas, tanggungjawab diamanahkan dengan komited – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Warga kerja Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah diingatkan untuk sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan  bagi memenuhi harapan tinggi rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, KKR Sabah yang menjadi nadi kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Pelbagai keluhan rakyat kita terima melalui pelbagai medium. Dalam hal ini, saya meminta agar semua jabatan untuk melaksanakan tindakan proaktif, memantau kerja dengan berkesan dan sentiasa turun ke lapangan melihat keadaan kemudahan-kemudahan infra sedia ada.

“Jika terdapat isu atau aduan pula, ia perlulah direspon segera dan diambil tindakan dengan cepat bagi menyelesaikan isu berkenaan. Jangan biarkan sesuatu isu menjadi viral secara meluas, baharulah kita bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Amanat Menteri Kerja Raya Sabah 2024 di sini semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya juga menekankan kepada kepentingan nilai integriti yang mendasari tindakan dan keputusan warga kerja Kementerian.

“Suka saya menegaskan bahawa kerajaan dan kementerian ini tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang menjejaskan imej dan kepercayaan rakyat terhadap kementerian dan seluruh jabatan di bawahnya.


Dalam pada itu, Shahelmey merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh warga KKR Sabah dan jabatan-jabatan di bawahnya atas kesungguhan dan komitmen selama ini.

“Saya sentiasa menaruh keyakinan dengan kebolehan dan potensi semua warga KKR Sabah dan jabatan dibawahnya untuk terus memacu perubahan positif negeri ini.  Besarlah harapan saya agar seluruh warga kerja kementerian dan semua jabatan dapat meneruskan kerjasama yang baik dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

“Kebersamaan dan pemuafakatan dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas pasti akan membuahkan hasil yang cemerlang,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PPS hasrat perkasa wanita muda sebagai pelapis dalam pembuat keputusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular