HomeUtamaBekalan tenaga mampan perkukuh pembangunan sosio-ekonomi Sabah

Bekalan tenaga mampan perkukuh pembangunan sosio-ekonomi Sabah

Read Time:2 Minute, 6 Second

KIMANIS: Bekalan tenaga yang mencukupi dan mampan akan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah serta memperkukuh pembangunan sosio-ekonomi negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber dan pembangunan sektor tenaga di negeri ini menerusi Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

Menurutnya, SE-RAMP 2040 adalah satu langkah penting bagi Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan tenaga yang mampan, akses yang adil dan menyeluruh, serta kos yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memberikan bekalan elektrik kepada seluruh rakyat Sabah.

“Di bawah pelan itu, Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah ditubuhkan bagi memantau, menyokong, dan memberikan panduan terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif jangka pendek, sederhana, dan panjang yang dirancang.

“MTS dalam mesyuarat keduanya bulan Ogos lalu telah meluluskan beberapa projek kritikal bagi pembangunan penjanaan berkapasiti 700 Megawatt (MW) untuk mengukuhkan Sistem Grid di Sabah.

“Projek Loji Janakuasa 100MW oleh Kimanis Power (Dua) Sdn.Bhd ini adalah antara projek yang diluluskan untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat kita.

“Projek ini sudah pasti mampu mengukuhkan lagi sumber dan bekalan elektrik negeri Sabah sekali gus dapat memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn.Bhd di Stesen Janakuasa Kimanis, Papar pada selasa.

Hajiji berkata, menerusi kerjasama erat diantara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS Gas Berhad, Kimanis Power telah berkembang sebagai Penjana Tenaga Bebas yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah, tunjang kepada pembangunan negeri ini.

Katanya, sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu. Justeru, projek itu akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga di negeri ini.

Menurutnya, PETRONAS sebagai rakan utama Sabah, terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sosio-ekonomi negeri melalui pembangunan modal insan dan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, komitmen itu terserlah dalam usaha PETRONAS memajukan bakat tempatan dengan menyediakan peluang latihan, program peningkatan kemahiran dan pendidikan berterusan untuk anak-anak Sabah.

“PETRONAS juga menyokong ekonomi tempatan melalui pemindahan teknologi dan pemerkasaan vendor tempatan. Usaha bersepadu ini bukan sahaja memajukan industri minyak dan gas di Sabah, juga meningkatkan taraf hidup rakyat serta merangsang ekonomi negeri secara keseluruhan”, tegasnya.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Kimanis Power atas 15 tahun pencapaian cemerlang dalam industri tenaga di Sabah dan sumbangannya kepada pembangunan negeri ini, berharap lebih banyak inovasi serta kolaborasi antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri di masa akan datang.

RELATED ARTICLES
Utama

PPS hasrat perkasa wanita muda sebagai pelapis dalam pembuat keputusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular